GEORGETOWN, 6 Mac – Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor mengingatkan penentang penceramah terkenal, Dr Zakir Naik supaya tidak menjadi seperti burung unta.
“Saya ikuti dengan perasaan jengkel tindakan 19 individu memfailkan saman terhadap pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik bersama Kerajaan Malaysia.
“Sikap sedemikian boleh diumpamakan seperti burung unta yang menyembunyikan kepala di dalam pasir kerana takut dikejar sedangkan punggungnya terdedah kepada pemburu,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, tindakan mereka memfailkan saman terhadap pendakwah berkenaan dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan mengancam keselamatan negara ternyata gagal menyembunyikan niat dan tujuan mereka yang sebenar iaitu sikap mereka yang taksub di samping takut kepada kebenaran.
Dr Wan Salim berkata, Dr Zakir Naik adalah seorang pakar perbandingan agama yang sederhana, bersikap terbuka dan sentiasa mengalu-alukan dialog dan perbincangan yang rasional berdasarkan hujah-hujah akademik.
Katanya, orang bukan Islam seharusnya perlu mengambil kesempatan daripada kehadiran beliau di negara ini untuk mengenal serta memahami agama Islam dengan lebih tepat dan jelas.
“Saya ingin menasihatkan kumpulan ini dan sesiapa yang bersikap seperti dengan mereka supaya menyingkirkan ‘Islamofobia’ dan cuba menilai pandangan Dr Zakir Naik secara rasional tanpa prasangka dan taksub,”katanya.
Beliau mengulas tindakan 19 orang, termasuk Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy bersama ADUN Bingkor, Jeffrey Kitingan dan Pengarah Center for Policy Initiatives, Lim Teck Ghee memfailkan tuntutan terhadap Dr Zakir Naik.
Mereka memohon satu perintah bagi Ketua Polis Negara untuk segera menangkap Dr Zakir Naik, juga membatalkan status tokoh agama itu sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, termasuk perintah mengusirnya dengan segera dari negara.-www.ismaweb.net
KOMEN