PUTRAJAYA, 4 Mac: Allahyarham Muhammad Ali menerima sijil khas sempena program ‘Reviving The Islamic Spirit (RIS)’ anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Al-Naqiy Islamic Solutions dan International Institute of Advanced Islamic Studies malam tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Muhammad Ali yang meninggal dunia ketika Ramadan tahun lalu, meninggalkan legasi dan inspirasi besar kepada masyarakat di dunia.
“Saya masih ingat lagi pada 1975, arwah (Muhammad Ali) bertarung dengan Joe Bugner di Malaysia. Ketika itu, semua mata dunia terpaku melihat aksi hebat mereka.
“Bagaimanapun, kita hanya tahu kehebatan arwah selepas analisis dilakukan iaitu kejayaannya berlandaskan prinsip kuat yang berpegang teguh kepada nilai murni termasuk kenyataan mengenai semua kehebatannya adalah kurniaan Allah SWT,” katanya ketika berucap pada konvensyen RIS anjuran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sijil penghargaan itu disampaikan oleh Jamil Khir kepada anak perempuan Allahyarham iaitu Rasheeda Ali bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan ayahnya.
Terdahulu, persidangan turut menampilkan pendakwah terkenal dari Amerika Syarikat, Imam Zaid Shakir; Pensyarah Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi Al-Akiti dan Naib Presiden Persatuan Islam Amerika Utara, Imam Siraj Wahhaj.
Sementara itu, Jamil Khir turut merakamkan penghargaan terhadap penganjur yang berjaya menganjurkan program berkenaan buat pertama kali di negara ini.
“Tahniah dan syabas kepada semua. Program ini tidak pernah diadakan di luar Kanada dan Amerika Utara sejak 15 tahun lalu,” katanya.-www.hmetro.com.my
KOMEN