KUALA LUMPUR 1 Mac – Sebarang fatwa mahupun pelaksanaan perundangan Islam yang digubal perlu mengambil kira faktor setempat selain kesesuaiannya dengan pegangan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perkara tersebut merupakan antara cadangan yang dikemukakan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dalam pertemuannya dengan 14 mufti negeri-negeri di ibu negara, semalam.
Menurutnya, Penjaga Dua Masjid Suci itu mengingatkan golongan pembela agama supaya menghormati amalan dan cara hidup umat Islam di tempat lain yang berbeza budayanya serta tidak secara mudah menjatuhkan hukuman mahupun mengeluarkan fatwa tanpa berpandukan nas al-Quran dan hadis.
“Sebarang pembaharuan dan pelaksanaan fatwa perlu berpandukan kepada keperluan semasa dan kesesuaiannya dengan zaman moden bagi mengelak timbulnya persepsi tidak tepat terhadap Islam dan umatnya yang kini berdepan pelbagai ancaman termasuk gerakan ekstremis serta peperangan yang tercetus hasil kegagalan umat Islam bersatu sepertimana berlaku di Syria, Iraq dan Afghanistan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau menambah, dalam pertemuan singkat namun penuh bermakna, baginda turut menyarankan golongan ulama khususnya mufti supaya sentiasa beristiqamah dan kekal bersatu untuk meneruskan usaha meningkatkan syiar Islam.
“Saranan penyatuan dikemukakan baginda bukan sahaja perlu diberi perhatian oleh mufti, sebaliknya keseluruhan umat Islam hendaklah meletakkan agenda perpaduan sebagai keutamaan khususnya dalam mendepani cabaran global yang sering menyaksikan Islam menjadi sasaran.
“Usaha penyatuan dan pengukuhan umat bukan sahaja perlu malah amat penting bagi mengukuhkan syiar Islam, seterusnya mencari titik persamaan untuk menjadikan perpaduan sebagai perisai bagi menghalang tindakan keganasan mahupun penindasan seperti yang berlaku di sesetengah negara bergolak,” ujarnya.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memberitahu, saranan oleh baginda amat bertepatan dengan keperluan semasa, malah seruan penyatuan dalam kalangan umat Islam amat kritikal ketika ini khususnya bagi mengelak penganutnya menjadi mangsa penindasan musuh Islam.
Jelasnya, perpaduan dan penyatuan umat Islam perlu diletakkan sebagai agenda bersama memandangkan kekukuhan Islam hanya akan terhasil apabila umatnya kekal bersatu dan sentiasa meletakkan kepentingan serta seruan agama sebagai keutamaan bersama.- www.utusan.com.my
KOMEN