Home » Persuasif » Daish Agenda Yahudi?

Daish Agenda Yahudi?

Oleh AMINI AMIR ABDULLAH

Dr Amini Amir Abdullah adalah pensyarah di Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Semua tahu istilah negara Islam sekiranya diterjemahkan ke bahasa Inggeris ialah Islamic State. Sejak dari itu, lahir pula istilah Daish (singkatan kepada Al-Dawlah Al-Islamiyyah fi Al-‘Iraq wa Al-Sham)yang merujuk kepada Negara Islam, bukan sebagai satu istilah yang positif dan baik, tetapi satu istilah yang telah mendapat imej yang buruk dan negatif kerana aktiviti radikalisme dan terrorisme.

Keganasan global telah mengalami perubahan besar-besaran dengan kebangkitan kumpulan pengganas baharu. Sama ada ia agenda Yahudi, salah faham terhadap konsep jihad atau konspirasi negara-negara Barat, kita masih belum pasti. Sejak tahun 2011, Arab Spring dan Perang Saudara Syria telah memberikan nafas baharu kepada militan jihad dan melahirkan gelombang yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam konteks paradigma latihan pengganas muda generasi pasca 9/11.

Hari ini dunia menghadapi beberapa ancaman terrorisme daripada Negara Islam Iraq dan Syria (Daish, IS, ISIS atau ISIL), siri-siri keganasan di Timur Tengah, Daish dan Jemaah Islamiah (JI) di Asia Tenggara, militia pengganas di Libya, aktiviti pengganas oleh Boko Haram di Nigeria, Al-Shabab di Somalia, Taliban dan Al-Qaeda di Afghanistan dan Pakistan serta gerakan Daish (IS atau (ISIS) yang sedang berkembang dan mewabak di Eropah Barat.

 

Zionis

Timur Tengah – pusat tamadun dan tempat kelahiran tiga agama monoteistik utama telah menjadi zon persengketaan pelampau agama dan fasisme. Orang ramai terutamanya pihak Barat sering mengaitkan radikalisme dengan Islam hingga ke satu tahap timbulnya persepsi bahawa agama Islam adalah agama yang membajai ekstremisme. Namun penilaian tersebut secara amnya gagal untuk mengambil kira trend radikalisme yang sama-sama berbahaya yang telah berlaku di rantau Timur Tengah selama beberapa dekad iaitu Zionisme.

Agenda Zionisme kekal sebagai satu realiti yang mengancam umat Islam sama ada pada jangka masa pendek atau jangka masa panjang kerana ideologinya melibatkan dan mengesahkan penghapusan seluruh orang-orang Islam. Ini bertepatan dengan pernyataan Rabbi Meir Hirsh, ahli Neturei Karta, berkaitan usaha Yahudi untuk mendapatkan semula dan mengekalkan kononnya tanah air mereka sendiri iaitu “Land of Israel.”

Menyedari bahawa kebangkitan Zionisme bukan sahaja melibatkan isu Palestin, Rabbi Meir Hirsh memberi amaran bahawa penyerapan dan pendudukan Zionis di Palestin adalah langkah pertama ke arah kebangkitan “Greater Israel.” Hal ini tidak menghairankan di mana pihak Google Inc. baru-baru ini telah menghilangkan negara yang sah iaitu Palestin daripada peta dunia.

Dari segi sokongan dan sumber kewangan, Zionis mendapat bantuan terus daripada Amerika Syarikat, sekutu dan proksinya, manakala Daish kemungkinan pernah mendapat bantuan latihan ketenteraan daripada Amerika Syarikat atau Rusia dan sumber kewangan daripada penjualan minyak dalam pasaran gelap. Sumber kewangan Daish semakin meningkat yang bersumberkan daripada pengeluaran minyak, penyeludupan barangan melalui Turki dan gandum yang tumbuh di kawasan yang luas di Syria.

Daish juga mengendalikan tiga empangan dan dua loji janakuasa di Raqqa dan Aleppo dan menggerakkan sekurang-kurangnya lima kilang roti berskala industri besar. Kumpulan ini juga telah melabur dalam infrastruktur dan pembangunan fasiliti rakyatnya. Mereka membina saluran air dan paip kumbahan dan merekrut tenaga kerja untuk mengendalikan mesin berat dan melaksanakan perkara-perkara teknikal.

Kritikan terhadap Israel telah menjadi pantang larang sosial dan politik yang menyebabkan ramai orang telah buta dengan kebenaran atau dituduh sebagai anti Semitisme. Ramai orang tidak lagi boleh melihat bahawa Israel dan Daish sebagai dua entiti yang sama radikal, tidak bertoleransi dan melampau. Daish sebenarnya membawa ciri-ciri Zionis yang membimbangkan, bukan sahaja dalam ideologi radikalismenya bahkan dasar-dasarnya, walaupun ia mendakwa berusaha untuk menghancurkan Israel. Hakikatnya Daish tidak pernah “menyentuh” Israel atau kepentingan-kepentingannya.

 

Pendedahan Edward Snowden

Walau bagaimanapun, dunia Islam menjadi terkejut apabila WikiLeaks mendedahkan bahawa Daish (ISIS) dilatih oleh Mossad. Maklumat ini dikatakan dibocorkan oleh bekas perisik CIA, Edward Snowden. Edward Joseph Snowden adalah seorang pakar komputer dan pernah bekerja sebagai perisik dengan Central Intelligence Agency (CIA) dan sebagai kontraktor dengan kerajaan Amerika. Beliau menjadi terkenal selepas membelot terhadap CIA.

Pada tahun 2013, beliau telah menyalin dan membocorkan rahsia rasmi maklumat yang diperolehi daripada National Security Agency (NSA), agensi keselamatan nasional Amerika. Agensi Keselamatan Negara (NSA) adalah sebuah organisasi perisikan kerajaan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab untuk memantau sehingga ke peringkat global pengumpulan dan pemprosesan maklumat serta data untuk tujuan perisikan dan counter-intelligence negara asing, disiplin yang dikenali sebagai isyarat perisikan (SIGINT). Pendedahan beliau melibatkan pelbagai program pemantauan global yang dikendalikan oleh NSA dan Kerjasama Perisikan Lima Negara (Five Eyes Intelligence Alliance) dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi dan beberapa negara Eropah.

Dokumen-dokumen rahsia NSA dibocorkan kepada beberapa pemberita seperti Glenn Greenwald, Laura Poitras dan Ewen MacAskill. Glenn Greenwald merupakan penyebar maklumat rahsia yang paling aktif dan diterbitkan oleh The Guardian, The Washington Post, Der Spiegel dan The New York Times. Pada 23 Jun 2013 Snowden bertolak ke Moscow dan beberapa bulan selepas itu pihak berkuasa Rusia memberikannya suaka politik selama setahun yang kemudiannya dilanjutkan kepada tiga tahun. Pada 2015, dia masih tinggal di lokasi yang tidak didedahkan di Rusia.

Edward Snowden sering memuji WikiLeaks sebagai satu organisasi yang benar-benar tidak mengenal erti takut dalam meletakkan prinsip-prinsip politik dalam usaha mereka untuk membina budaya yang merentas sempadan dalam konteks ketelusan dan perlindungan data yang penting. Mereka mencari risiko ketika semua orang cuba mengelakkan diri. WikiLeaks melaporkan dalam tweetnya, “#Snowden mendedahkan #ISIS dilatih oleh Mossad” (pada 8 Ogos 2014) yang kemudiannya mendapat 478 retweets dalam tempoh beberapa jam siaran beritanya. Sungguhpun laporan WikiLeaks ini diragui, kita perlu sentiasa berwaspada. Adakah benar pemimpin Daish, Abu Bakr Al-Baghdadi dilatih oleh Mossad dan Operasi Hornet Nest benar-benar wujud?

Majalah Time pada 19 Julai 2014 dalam satu artikelnya menyangkal berita bahawa Daish (ISIS) dilatih oleh Mossad seperti yang dilaporkan oleh banyak sumber dari Iran termasuk Agensi Berita Iran (IRNA). Majalah Time menyatakan bahawa ia adalah satu teori konspirasi dari Iran dan bahawa berita itu tidak benar. Walau bagaimanapun, Snowden tidak pernah menolak atau menafikan berita IRNA itu. Hal ini agak menarik kerana dalam kerangka disiplin intelektual, apa yang dilaporkan oleh IRNA boleh dianggap sebagai benar selagi mana ia tidak disangkal oleh Snowden atau dibuktikan sebagai palsu.

Sebelum itu pada 6 Julai 2014, laman sesawang IRNA melaporkan berita bertajuk: “Snowden: Abu Bakr Al-Baghdadi, Natijah Daripada Kerjasama Agensi Perisikan Tiga Negara.” Pada pertengahan Julai 2014, Majalah Time cuba campur tangan dan menolak berita yang melibatkan Edward Snowden. Tajuk artikel dalam Majalah Time berbunyi: “Mengapa Iran Percaya Kumpulan Militan ISIS Adalah Satu Plot Amerika” dalam cubaan untuk menolak berita yang disiarkan oleh IRNA. Perlu diingatkan, teori konspirasi bukanlah perkara baharu di Timur Tengah.

Majalah Time mendakwa bahawa berita ini hanyalah khabar angin dengan merujuk kepada beberapa pautan dan postings dalam laman sesawang dan internet.Majalah Time juga menuduh bahawa artikel tersebut bertujuan untuk menarik perhatian para pengganas di seluruh dunia untuk memporak-perandakan rantau Timur Tengah dan mengucar-kacirkan Israel sebagai musuh umat Islam. IRNA bertindak balas dengan segera untuk menolak hujah Majalah Time dengan menyatakan bahawa Time gagal untuk merujuk kepada sumber asal berita tersebutdalam The Intercept,portal dokumen dan penerbitan dalam talian milik jutawan dan pengasas E-Bay, Pierre Omidyar yang dilancarkan pada Februari 2014 oleh First Look Media.

Apa yang menarik ialah portal ini bertindak sebagai platform untuk melaporkan dan menerbitkan dokumen yang dibocorkan oleh Edward Snowden dalam jangka masa pendek dan untuk menghasilkan secara agresif pemberitaan yang bertentangan dalam pelbagai isu-isu dalam jangka masa panjang. Apakah benar terdapat rujukan mengenai perkara ini dalam The Intercept? Semua dokumen yang dimuatnaik daripada dokumen rahsia yang diperolehi oleh Snowden terdapat dalam laman sesawang https://cryptome.org/2013/11/snowden-tally.htm#The%20Intercept.

The Washington Post melaporkan sekurang-kurangnya terdapat 250,000 muka surat dalam fail Snowden, tetapi kurang daripada satu peratus telah dibocorkan. Pada 13 September 2014,Glenn Greenwaldmendakwa Snowden mempunyai beratus-ratus ribu dokumen. Kebanyakannya disiarkan dalam The Intercept dan boleh dicapai menerusi laman sesawang https://theintercept.com/.- MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *