KUALA NERUS, 23 Januari – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta sejarah apabila berjaya menemui penawar bagi penagihan dadah opiat. Centre for Research in Addiction (CentRenA) universiti itu menghasilkan penawar itu dalam bentuk makanan tambahan yang dikenali sebagai Nuzadone dan boleh diperoleh di mesin i-Dispenser.
Ketua Penyelidik, Prof Dr Nasir Mohamad berkata, CentRenA, yang diasaskan oleh sekumpulan penyelidik di bawah geran NRGS-KPM (RR057-1), melakukan kajian dan penyelidikan berkaitan penagihan opiat sejak 2004.
“Penyelidik naugan CentRenA berjaya menghasilkan pelbagai produk inovasi dalam meningkatkan kadar pemulihan ketagihan yang antaranya Modul Psikospiritual, Mesin i-Dispenser dan makanan tambahan gabungan madu kelulut, habatussauda dan air zam zam yang dikenai Nuzadone.
“Sebelum ini, makanan tambahan bagi pemulihan pengambilan dadah hanyalah Vitadone dan Nutridone yang dihasilkan Amerika Syarikat dan mengandungi bahan kimia,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelancaran CentRenA dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman UniSZA dengan lima universiti termasuk universiti dari Thailand yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong. Turut hadir Naib Canselor UniSZA Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif.
Prof Dr Nasir berkata, dengan adanya mesin i-Dispenser, penagih hanya perlu memasukkan kad pengenalan mereka ke dalam mesin berkenaan serta meletakkan tandatangan pada mesin itu bagi membolehkan Nuzadone yang berbentuk cairan pekat keluar untuk diminum.
“Ia seperti mesin ATM dengan memasukkan kad serta nombor akaun, maka duit akan keluar. Begitu juga dengan mesin i-Dispenser. Penagih tidak lagi perlu ke klinik-klinik kerajaan untuk mendapatkan makanan tambahan Vitadone atau Nutridone, tetapi boleh ke mesin berkenaan untuk mendapatkan makanan tambahan ciptaan UniSZA itu,” katanya.
Katanya, kumpulan penyelidik UniSZA pernah membuat pembentangan di sebuah universiti di China mengenai kajian tersebut dan pernah menggondol pelbagai anugerah.
“Perkembangan perjalanan mengkomersilkan mesin i-Dispenser adalah dalam proses memohon geran pemasaran produk-produk teknologi di Malaysian Tecnology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC),”katanya.
Sementara itu, mengenai penubuhan CentRenA Prof Dr Nasir berkata pusat itu adalah yang pertama di Pantai Timur dan bakal menjadi pusat sehenti bagi menjalankan penyelidikan pelbagai jenis dadah.
Pada majlis itu UniSZa menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti un Hussein Onn (UTHM), Univesiti Malaysia Terngganu (UMT) dan Hospital Psikiatrik Suan Prung, Chiang Mai, Thailand. – Bernama
KOMEN