Home » Citra Yadim » Sirah Nabawiyyah wajar jadi bahan bacaan wajib di sekolah

Sirah Nabawiyyah wajar jadi bahan bacaan wajib di sekolah

KUALA LUMPUR 20 Januari – Buku Sirah Nabawiyyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dicadangkan menjadi bahan bacaan wajib pelajar-pelajar sekolah menengah di Malaysia bagi membolehkan setiap pelajar Muslim di negara ini mengetahui kisah pengorbanan Nabi Muhammad SAW.

Penceramah dan guru agama, Abdullah Din berkata, seharusnya buku berkenaan menjadi bahan bacaan wajib sebagaimana buku-buku sastera bahasa Melayu dan Inggeris yang diwajibkan di sekolah-sekolah menengah.

“Biarlah sebelum menamaatkan pelajaran di sekolah menengah sekurang-kurangnya setiap pelajar Islam telah menghabiskan bacaan tentang sirah kehidupan Nabi Muhammad bermula kelahirannya sehingga kewafatan baginda.

“Amatlah malang sekiranya seorang Muslim tidak pernah membaca dan mengetahui sirah kehidupan Nabi yang wajib dicintai,’’ katanya ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk  `Beberapa Cadangan Ke Arah Penambahbaikan Subjek Pendidikan Islam Di Sekolah-sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia’.

Kertas itu dibentangkan pada Bengkel Pendidikan Islam Nasional 2017 yang diadakan oleh Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) iaitu sebuah majlis yang ditubuhkan oleh YADIM bagi menggabungkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini pada 17 Januari lalu.

Abdullah berkata,  buku Sirah Nabawiyyah atau tajuk asalnya Ar-Rahiq Al- Makhtum ditulis oleh Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfurri dan diterjemahkan oleh Muhammad Ramzi Omar adalah sebuah yang baik bagi memberikan gambaran kepada para pelajar mengenai pengorbanan Rasulullah.

Beliau berkata, bahagian sirah khususnya sirah kehidupan Nabi Muhammad adalah bahagian yang paling didiskriminasikan dengan banyak tajuk-tajuk penting tidak terdapat dalam silibus mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.

“Selain daripada sirah, ilmu fekah berkaitan muamalat juga amat kurang disentuh manakala bahagian jinayat Islam tidak disentuh langsung,’’ katanya.

Beliau berkata, tajuk berkaitan ibadat asas (seperti asas bersuci dan haji) dipelajari terlalu lama iaitu dari tingkatan satu hingga tingkatan empat, sedangkan tajuk muamalat atau kewangan Islam hanya dipelajari di tingkatan empat iaitu meliputi empat tajuk sahaja.

Menurutnya, sejajar dengan perkembangan semasa, subjek Pendidikan Islam seharusnya memerlukan penilaian dan kajian semula agar subjak ini terus relevan dan mampu menjadi bahtera penyelamat kepada generasi hari ini dan akan datang.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *