Home » Langit Terbuka » Jakim digesa bertindak drastik, sistematik bendung agenda liberal

Jakim digesa bertindak drastik, sistematik bendung agenda liberal

PUTRAJAYA 17 Jan. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa bertindak secara drastik dan sistematik bagi memben­dung agenda golongan Islam liberal dalam menolak autoriti ulama dan institusi Islam di negara ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Usu­luddin Universiti Sultan Zai­nal Abidin (Unisza), Muhammad Rashidi Wahab berkata, adalah menjadi matlamat golongan Islam liberal untuk merosakkan pegangan umat Islam dengan menyerang ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Katanya, golongan liberal itu akan mempertikaikan dan memburuk-burukkan ulama yang me­re­ka anggap cuba mengawal serta mencampuri kebebasan individu.

“Selain itu, mereka juga menyerang institusi Islam dengan membuat dakwaan yang tidak berasas untuk menjatuhkan kredibiliti dan kepercayaan umat Islam terhadap institusi ber­kenaan.

“Hal ini selari de­ngan agenda sekularisme yang ti­dak memberikan sebarang pe­ranan agama dalam negara atau kerajaan termasuk agama Islam tidak boleh diinstitusikan.

“Malah, mereka turut menolak fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama seperti mufti antaranya, dengan mencabar fatwa itu di mahkamah sivil,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pemikiran Liberalisme Dalam Wacana Agama dan Ancamannya di Malaysia dalam Seminar Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-9 di sini hari ini.

Program bertemakan ‘Liberalisme: Agenda Jahat Illuminati’ itu dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jakim dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Dalam pada itu, Pensyarah di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Wan Adli Wan Ramli berkata, prinsip-prinsip aki­dah serta pemikiran Islam me­nurut ASWJ perlu dipertahankan dan dipertegaskan semula.

Menerusi kertas kerjanya bertajuk Liberalisme di Malaysia: Kesesatan Doktrin Liberalisme dan Respons ASWJ, beliau menegaskan, langkah itu penting dalam menangani pemikiran li­beral tersebut.

– https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *