KUALA LUMPUR, 16 Januari – Pusat Rohingya ASEAN (ARC) hari ini menubuhkan Majlis Muafakat Rohingya sebagai badan yang bertanggungjawab menyekat penularan fahaman ekstremis dalam kalangan masyarakat Rohingya di negara ini.
Pengarah Eksekutif ARC, Dr Helmi Ibrahim berkata, majlis ditadbir ARC itu juga bertindak menjaga kebajikan masyarakat Rohingya dan badan pelaksana terhadap sebarang keputusan yang dipersetujui gabungan pemimpin di dalam majlis itu.
“Penubuhan majlis ini sebagai tanda sokongan terhadap kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menegaskan isu Rohingya perlu ditangani segera agar pengaruh ekstremis tidak menular ke wilayah Rakhine, Myanmar.
“ARC menyatakan kebimbangan terhadap perkara ini kerana pengaruh tersebut berpotensi menular ke dalam masyarakat Rohingya di negara ini sekiranya kebajikan mereka tidak terbela,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Helmi berkata, majlis itu juga ditubuhkan memandangkan segala usaha mewujudkan kesatuan masyarakat Rohingya di negara ini gagal sejak beberapa tahun lepas.
“Majlis ini akan menjadi badan konsultatif kepada masyarakat Rohingya,” katanya.
Beliau berkata ARC juga menyokong usaha kerajaan mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Jan ini di sini, selain berharap OIC akan mengisytiharkan 2017 sebagai Tahun Solidariti Antarabangsa Bersama Rohingya.
“ARC berharap Malaysia menjadi pencadang kepada deklarasi tersebut dan OIC akan menerimanya sebagai deklarasi OIC.
“Ini bertujuan menarik perhatian antarabangsa untuk merangka pelbagai inisiatif bagi membantu masyarakat Rohingya,” katanya. – Bernama
KOMEN