GUWAHATI, (INDIA), 12 Dis. – Seorang guru yang mengajar teknologi maklumat (IT) di sebuah sekolah swasta di Mumbai, terpaksa meletak jawatan selepas didiskriminasi selama enam bulan oleh pentadbiran sekolah itu.
“Saya cuba untuk memberi kefahaman kepada mereka mengenai burqa dan hijab, yang menjadi sebahagian daripada kepercayaan Islam serta budaya tradisional keluarga, tetapi gagal. Akhirnya saya terpaksa meletak jawatan,” kata Shabina Khan Azneen, yang mengajar di Vivek English High School.
Beliau bertugas di sekolah itu sejak tiga tahun lalu, tetapi berdepan masalah selepas kedatangan guru besar wanita yang baharu.
“Pada awalnya tiada masalah, tetapi apabila guru besar wanita yang baharu itu datang pada Jun lalu, dia berulang kali meminta saya menanggalkan burqa dan hijab dengan alasan melanggar kesopanan sekolah.
“Akhirnya, pada 5 Disember, ketika perhimpunan pagi, apabila saya mahu melakukan solat, dia berkeras mengarahkan saya menanggalkan burqa dan hijab,” katanya.
Bagaimanapun, sekolah itu belum membuat keputusan mengenai peletakan jawatan Shabina. Pengetua sekolah, Vikram Pillai, dilaporkan oleh media tempatan mereka akan membuat keputusan minggu depan.
Akhbar tempatan, The Indian Express, melaporkan pihak sekolah berkata, kejadian itu adalah salah faham.
Pemegang Amanah Yayasan Jai Ho, Adil Khatri yang menyokong Shabina memberitahu agensi berita Anadolu, mereka telah menulis surat kepada Menteri Pelajaran, mengenai perkara itu.
“Sekarang saya rasa pihak sekolah tertekan dan berharap tindakan sewajarnya diambil bagi menangani diskriminasi itu,” katanya. – Agensi
KOMEN