WASHINGTON 24 Nov. – Penduduk Islam di Amerika Syarikat (AS) mengakui merasa bimbang menjadi sasaran kamera pengawasan minggu ini selepas menerima panggilan tinjauan pendapat automatik untuk mengesahkan identiti mereka.
Namun tinjauan pendapat menerusi panggilan telefon yang meminta mereka menekan satu jika beragama Islam atau dua jika tidak itu sebenarnya dibuat oleh pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Emerge USA, bertujuan memperkasakan penduduk Islam Amerika.
Menurut pengarahnya di Virginia, Sarah Cochran, kumpulan itu cuba menghasilkan satu algoritma baharu dengan menghubungi umat Islam bagi meninjau pandangan dan pengalaman mereka selepas pilihan raya 8 November lalu.
Bagaimanapun Cochran berkata, mereka sebaliknya terpaksa meyakinkan sebahagian penerima panggilan bahawa pihaknya hanya ingin mengadakan tinjauan pendapat dan bukannya kumpulan anti-Islam yang sengaja menggunakan nama pertubuhan itu untuk tujuan penyamaran.
“Semua kerja kami terjejas kerana tidak dapat mengajak penduduk untuk mengambil bahagian disebabkan mereka takut,” katanya.
Kelmarin, Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menyiarkan kenyataan mengenai laporan penduduk Islam negara ini menerima panggilan tersebut dan beberapa lagi individu didapati turut memuat naik persoalan mengenainya di akaun Twitter dan Facebook mereka.
“Tidak pasti sama ada perkara ini adalah penipuan atau benar tetapi saya sudah membuat laporan dan mendesak anda juga berbuat demikian jika menerima panggilan sama. Selamat datang ke dunia baharu!,” kata salah seorang pengguna laman Facebook.
Ramai umat Islam di AS masih khuatir jika bakal Presiden AS, Donald Trump menunaikan ikrar kempennya untuk mendaftarkan semua penduduk Islam negara ini.
Calon pilihan Trump untuk mengisi jawatan Penasihat Keselamatan Negara, Michael Flynn, menerusi rakaman video baru-baru ini turut dilaporkan mencetus provokasi apabila menggambarkan Islam sebagai ‘barah ganas yang wujud dalam 1.7 bilion manusia di planet ini’ dan perlu dihapuskan. – REUTERS
KOMEN