Home » Citra Yadim » Jangan biarkan perpaduan Melayu retak – MDN

Jangan biarkan perpaduan Melayu retak – MDN

PASIR PUTEH 19 Nov. : Majlis Dakwah Negara (MDN) mahukan organisasi dalam masyarakat bertindak menghentikan segera perbalahan besar dalam kalangan orang Melayu yang retak akibat perbezaan fahaman politik.

Pengerusinya, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata pihaknya kecewa dengan perpecahan yang semakin melebar, khususnya dalam masyarakat Melayu akibat perbalahan politik itu dan boleh membawa kepada kehancuran.

Lebih menyedihkan, katanya, sesetengah pihak mendakwa kerja atau usaha untuk menghentikan perbalahan itu sebagai kerja gila dan sia-sia.

“Saya melihat perbalahan masyarakat kita sekarang nampaknya semakin hari semakin rumit, lebih rumit dari kisah ‘wayang kulit’ Kelantan. Mula-mula perbalahan di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Selepas itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dijatuhkan dari tampuk kepimpinan dan kini pula antara Datuk Seri Najib Razak dan Dr Mahathir pula,” katanya pada ucaptama Retreat Ilmuan dan Profesional Kelantan 2016 di Tok Aman Bali Resort, di sini hari ini.

Program anjuran MDN dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu turut dihadiri pakar ekonomi MDN, Tan Sri Mohd Nadzmi Salleh; Yang Dipertua YADIM, Dr Yusri Mohamad dan Pesuruhjaya MDN Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Mahmood Zuhdi berkata, perbalahan yang membawa kepada perpecahan masyarakat, termasuk di Kelantan akan menyebabkan kacau bilau yang akhirnya menghancurkan negara jika tidak ditangani segera.

“Soal sekarang, bukan mana-mana watak atau tokoh berbalah, bukan Dr Mahathir dan bukan Najib, tetapi soal budaya kita kini yang semakin hancur.

“Teras budaya Melayu dan Islam yang bertapak kukuh di alam nusantara perlu diperbetulkan semula kerana masyarakat kini keliru dan bosan (perbalahan),” katanya.

Katanya, MDN juga sedia menjadi badan bebas sebagai ‘orang tengah’ dalam usaha membina perpaduan masyarakat dengan mengetepikan soal perbezaan fahaman politik.

“Saya berharap MDN menjadi organisasi kuat, bukan organisasi politik yang sering menjadi punca perpecahan,” katanya. https://www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *