KUALA LUMPUR, 31 Okt. – PAS masih optimis dan menaruh harapan bahawa Rang Undang-Undang Akta 355 (RUU355) yang dikemukakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, usul berkenaan perlu dibentangkan kerana ia sudah tersenarai dalam kertas perintah dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.
“Saya masih optimis, masih menaruh harapan, itu perkara biasa, kita tunggulah. Terpulang kepada mereka (kerajaan) tetapi kami masih berharap agar usul itu dibentangkan pada sidang kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, PAS masih mampu bertoleransi jika usul mengenai RUU Akta 355 yang dibawa Abdul Hadi itu ditunda ke sidang Dewan Rakyat akan datang.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman berpendapat bahawa usul berkenaan mungkin tidak dapat dibentangkan pada sesi kali ini,
“Menurut kalendar, selepas perbahasan bajet berakhir, akan ada dua atau tiga usul menunggu untuk diluluskan.
“Kami hanya mempunyai dua hari untuk menyelesaikan semua urusan, saya tidak tahu sama ada akan ada masa (untuk RUU Hadi),” kata Azalina dipetik Sin Chew Daily. – https://www.ismaweb.net/
KOMEN