Home » Langit Terbuka » Pengajian Islam bukan pendorong sertai militan

Pengajian Islam bukan pendorong sertai militan

ALOR GAJAH 29 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa bidang pengajian Islam bukanlah faktor pendorong kepada golongan muda terutamanya pelajar menyertai kegiatan militan Daesh.

Katanya, kumpulan keganasan bertopengkan Islam itu sebaliknya disertai oleh sebahagian besar individu yang tidak mempunyai asas pendidikan Islam secara formal dan kukuh.

Menurutnya, perkara itu didedahkan melalui kajian Pusat Pemulihan Putera Mahkota Mohammed Bin Nayef, Arab Saudi bahawa lebih daripada 87 peratus mereka yang terlibat dalam kegiatan pengganas tersebut tidak mempunyai asas pendidikan agama, sebaliknya didorong tafsiran sendiri mengenai Islam.

“Mereka menggunakan ‘escapism’ sebagai asas pengli­batan mereka dalam kegiatan ini. Jadi, pendidikan agama bersama pendidikan akademik itu perlu diperkukuhkan supaya mereka (golongan muda) tidak terlibat dalam militan, keganasan ataupun radikalisme,

“Saya amat yakin, sekiranya golongan pelajar ini mempunyai ilmu agama yang kukuh dan ada hala tuju pendidikan akademik profesional, mereka tidak akan pernah melibatkan diri kerana memahami Islam yang sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penutupan Program Asasi Ulul Albab, Graduasi Aqso dan Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah di sini hari ini.

Yang hadir sama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad.

Jelas Ahmad Zahid, sebahagian besar yang terlibat dalam kegiatan keganasan ini mempunyai tafsiran sendiri mengenai Islam atau dipengaruhi melalui bahan bacaan serta rakan-rakan serta sebagai jalan singkat memasuki syurga.

“Tidak ada jalan singkat untuk masuk syurga, kita terpaksa melalui proses biasa melalui ibadah dan bukan dengan melibatkan diri dengan kegiatan keganasan. Ini kerana tidak ada satu hadis pun yang menyebutkan bahawa membunuh orang adalah amalan yang boleh membawa kita ke syurga dengan jalan singkat,” jelasnya.

Sementara itu katanya, sikap prasangka yang digambarkan oleh pihak Barat ini berlaku dise­babkan kekhuatiran mereka dengan Islam sebagai sebuah agama yang paling cepat berkembang.

Bagaimanapun, pihak Barat perlu tahu bahawa Islam itu adalah agama keamanan dan bukan penyebab kepada berlakunya keganasan seperti yang disalahertikan selama ini.

“Sehubungan itu, diharap orang Islam perlu membetul dan mengetepikan prasangka negatif ini, selain tidak mengharapkan agama lain untuk membetulkan imej Islam,” tambahnya. – https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *