Home » Langit Terbuka » Dr Bala Chandran kecam penentang RUU355

Dr Bala Chandran kecam penentang RUU355

SETIU, 28 Okt. – Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP), Dr Bala Chandran Gopal Krishnan mengecam tindakan sesetengah orang bukan Islam yang menentang pindaan Akta Mahkamah Syariah, sedangkan ianya khusus untuk orang Islam sahaja.

Namun, katanya, penentangan orang bukan Islam terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 itu kerana terikut-ikut dengan segelintir orang Islam yang menentangnya.

“Ada orang ingat saya ini ‘bodoh’ kerana menyokong RUU Akta 355. Saya sendiri pernah ditegur oleh seorang peguam sebuah parti politik pembangkang kerana menyokong RUU 355 itu sedangkan dia (peguam) sendiri tidak faham dengan RUU itu.

“Ini bukan soal undang-undang tetapi soal logik. RUU Akta 355 itu adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah hak orang Islam dan tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Bagi kita orang bukan Islam kenapa kita hendak menentang?,” katanya, semalam.

Katanya, beliau juga sedih kerana terpaksa mengajar orang Melayu supaya menegakkan dan menyokong undang-undang Islam.

“Saya orang bukan Islam tetapi berfikiran Islam. Sebab untuk menjadi seseorang itu Islam bukan hak kita tetapi hak Allah SWT. Apa yang penting kita menghormati dan menghayati Islam lebih baik dari munafik-munafik yang menentang Islam,” katanya pada sesi soal jawab Forum Perdana RUU Akta 355 “Biar Tahu Jangan Keliru” anjuran PAS Kawasan Setiu di Surau Tanjung Batu Rakit seperti dilaporkan Harakah Daily, semalam.

Dr Bala Chandran berkata, DHPP bersama dengan perjuangan PAS kerana mahu melahirkan dalam kalangan masyarakat bukan Islam agar berfikiran Islam.

Namun, katanya, ini tidak bermakna setiap orang bukan Islam mesti menukar anutan agama masing-masing dengan memeluk Islam.

“Bagi kita (DHPP) bila kita bersama PAS, banyak ditarbiah dan menerima dasar perjuangan PAS. Kita tahu, sebagai seorang bukan Islam kena menghormati kehendak dan keperluan orang Islam,” katanya sambil menjelaskan bahawa undang-undang dan Mahkamah Syariah perlu diperkasakan.

“Pelaksanaan mahkamah syariah hari ini di bawah kerajaan Umno yang ‘jahil’ ini menjadikan orang bukan Islam kurang yakin dengan undang-undang di mahkamah syariah, banyak kelemahannya yang perlu diperbaiki.

“Penentangan terhadap RUU Akta 355 itu kerana ianya dibentang oleh Ahli Parlimen Marang (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi) dan jika (RUU Akta 355) dibentangkan oleh menteri, tak ada penentangan dan semua orang setuju belaka.

“DAP kena faham parti PAS, Parti Amanah Negara pun kena faham parti PAS. Sebab itu, mereka lari dari PAS sebab tidak faham dasar perjuangan parti PAS untuk menegakkan Islam,” katanya. – https://www.ismaweb.net/

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *