Home » Langit Terbuka » Filipina tangkap militan pakar bom Malaysia, gagalkan serangan

Filipina tangkap militan pakar bom Malaysia, gagalkan serangan

MANILA, 11 Okt. – Polis Filipina menggagalkan cubaan militan untuk melakukan serangan bom di tengah bandar raya ini, selepas menangkap seorang rakyat Malaysia yang dikehendaki, Mohamad Amin, Sabtu lalu.

Mohamad Amin, seorang pakar pembuat bom, adalah antara militan yang dikehendaki dan kerajaan negara itu menawarkan 600,000 peso (lebih RM51,600) bagi penangkapannya.

Pemangku Pengarah Pasukan Siasatan Jenayah dan Pengesanan Polis Filipina, Ketua Superintendan Roel Obusan berkata Mohamad Amin ditangkap jam 4 pagi Sabtu lalu dalam operasi khas di Quezon City.

Turut ditahan ialah pemilik rumah di mana Mohamad Amin tinggal, Bilal Taalam dan Adnan Malangkis. Lapan lagi penyewa rumah berkenaan turut ditahan untuk siasatan.

Polis percaya ketiga-tiga mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan Abu Sayyaf di Sulu. Cebisan bom tangan, beberapa butir peluri, pelbagai jenis kad pengenalan, telefon bimbit dan pelan tindakan pusat beli-belah di Quezon City, turut dirampas dalam serbuan itu.

Obusan berkata, menerusi bahan yang dirampas serta soal siasatan ke atas suspek, polis percaya Mohamad Amin merancang melakukan serangan bom di Manila.

Mohamad Amin yang turut dikenali sebagai Asman, Akman Amin dan Amin Aklam, adalah pakar pembuat bom dan dikehendaki daalam kes pembunuhan difailkan di sebuah mahkamah di Jolo, Sulu.

Beberapa anggota militan Abu Sayyaf turut berdepan tuduhan sama di mahkamah berkenaan.

Mohamad Amin dan Malangkis berdepan prosiding inkues kerana melakukan keganasan mengikut undang-undang senjata api dan memiliki bahan letupan.

Obusan berkata, Mohamad Amin juga bekerjasama dengan tiga suspek pembekal senjata api kepada Abu Sayyaf di kawasan Zamboanga, Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi.

Mereka ialah Hja Risdimona Isa, Aljamer Akarab Mandin dan Hurbin Sahibu yang ditangkap di bandar San Juan, bulan lalu. – Agensi

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *