DUBAI, 11 Okt. – Dubai dilaporkan sudah memulakan kerja pembinaan menara tertinggi di dunia mengatasi menara Burj Khalifa.
Kerajaan Dubai dalam satu kenyataan hari ini berkata, menara yang terletak di kuala sungai Dubai itu adalah projek usahasama antara Pemaju Hartanah Emaar dan Dubai Holding yang merupakan syarikat pelaburan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Menara itu dijangka siap pada tahun 2020 dan akan menjadi hadiah kepada bandar raya itu yang akan menjadi tuan rumah pameran Ekspo perdagangan dunia.
Terdahulu, Pengerusi Pemaju Hartanah Emaar, Mohamed Alabbar berkata anggaran kos pembinaan untuk menara itu mencecah AS$1 bilion (RM3.89 bilion).
Katanya, ketinggian muktamad bangunan itu akan diumumkan apabila pembinaannya siap kelak.
Menara itu adalah rekaan arkitek Sepanyol-Swiss, Santiago Calatrava Valls yang akan menyediakan restoran dan sebuah hotel butik.
Menara itu juga difahamkan berbentuk langsing, menyerupai imej menara, dan akan ditambat ke tanah dengan kabel kukuh.
Manakala, Burj Khalifa yang siap pada bulan Januari pada tahun 2010 itu mempunyai ketinggian 828 meter tinggi dan kos untuk membinanya ialah 1.5 billion.- Agensi
KOMEN