ISTANBUL 4 Okt. – Pihak berkuasa Turki menggantung tugas 12,801 anggota polis kerana disyaki terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai lalu.
Langkah itu dibuat selepas Kementerian Dalam Negeri melancarkan siasatan terhadap pasukan polis sehari selepas kerajaan Turki melanjutkan tempoh darurat selama tiga bulan lagi, lapor stesen berita CNN Turk.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, pasukan polis Turki terdiri daripada lebih 250,000 anggota dan daripada jumlah anggota yang digantung di seluruh negara, 2,523 daripada mereka memegang jawatan sebagai Ketua Polis.
Kira-kira 100,000 individu dalam tentera, perkhidmatan awam, polis dan badan kehakiman telah dipecat atau digantung manakala hampir 32,000 orang lagi ditahan kerana disyaki menyokong organisasi pendakwah berpang-kalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen yang didakwa oleh Ankara sebagai dalang utama cubaan rampasan kuasa tersebut.
Kerajaan Turki semalam mengumumkan lanjutan tempoh darurat selama tiga bulan bermula 19 Oktober ini.
Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Kabinet mingguan yang dipengerusikan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden di Ankara.
Erdogan minggu lalu mencadangkan bahawa tempoh darurat itu mungkin akan berlarutan selama setahun.
Gulen, yang menetap dalam buangan di Pennsylvania sejak 1999, telah menafikan penglibatannya dalam usaha rampasan kuasa itu. – REUTERS/AFP
KOMEN