KUALA LUMPUR 4 Okt. – Cadangan kepada Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak akan mengambil kira jenayah yang boleh dilakukan menerusi internet khususnya di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan tersebut dibuat bagi melindungi wanita dan kanak-kanak daripada jenayah seksual di internet.
“Pendekatan akan membawa perubahan dari segi definisi akta ini di mana jenayah ini akan mengambil kira apa yang berlaku dari internet sama ada online atau offline,” katanya dalam sidang media selepas berlangsungnya mesyuarat di sini, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan selepas tamat mesyuarat Jawatankuasa Bertindak (Task Force) berkaitan jenayah seksual kanak-kanak di sini, hari ini.
Mesyuarat itu bertujuan menangani dan mengurangkan kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di negara ini.
Usaha ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan isu-isu berkaitan wanita dan kanak-kanak dapat ditangani dengan baik.
Azalina ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat hari ini turut mencadangkan penyelesaian kes dibuat dalam jangka masa yang lebih singkat.
“Ahli mesyuarat mahukan kes jenayah berkaitan akta ini diselesaikan dalam jangka masa singkat. Tidak mahu ada penangguhan. Sekurang-kurangnya kes mesti diselesaikan dalam masa setahun,” ujarnya.
Tambah Azalina lagi, pihaknya turut mencadangkan jenis penalti yang boleh dikenakan bagi kesalahan akta tersebut.
“Jenis-jenis penalti atau hukuman akan ditentukan berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah.
“Bagaimanapun ia hanya cadangan dan akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya lagi.
- Sinar Harian
KOMEN