Home » Citra Yadim » Majlis Syura Ilmuwan Islam, Akademi Pembangunan Ummah akan ditubuhkan

Majlis Syura Ilmuwan Islam, Akademi Pembangunan Ummah akan ditubuhkan

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Majlis Syura Ilmuwan Islam dan Akademi Pembangunan Ummah berpusat akan ditubuhkan yang dianggotai dikalangan ulama dan profesional dalam pelbagai bidang untuk memberi impak ke arah kelestarian pergerakan Islam dan dakwah di negara ini.

Seperti dicadangkan dalam usul dibentangkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN), hari ini, sebuah dewan ilmuwan yang mewakili bidang-bidang tertentu akan diwujudkan berfungsi sebagai penghubung dan pelaksanaan kerja-kerja dakwah membabitkan beberapa kumpulan  di bawah Majlis Syura Ilmuwan Islam ini.

Antaranya dikalangan parti politik, profesional, institusi agama, NGO Islam, pendakwah dan golongan masyarakat.

Pengerusinya Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid menjelaskan, dewan Ilmuwan itu kelak akan mengunakan secara optima sumber yang ada, dilakukan secara berkumpulan membabitkan sektor awam, kerajaan dan universiti.

“Kita akan wujudkan beberapa dewan seperti Dewan Masjid, Dewan Cheng Ho, Dewan Agamawan, Dewan Dakwah dan Dewan Siswazah di bawah Dewan Ilmuwan ini.

“Ia bertujuan untuk membina satu suara dalam pelbagai isu yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

“Dalam MDN kita ada kumpulan disebut G70 dianggotai individu yang cukup berpengalaman menguruskan organisasi dewan seperti ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Perhimpunan Ilmuwan Kebangsaan bertemakan:’Peranan Ilmuwan Dalam Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara’ di Universiti Teknologi Malaysia hari ini.

Bercakap kepada media, usul mewujudkan Akademi Pembangunan Ummah pula ujarnya akan menjadi satu pasukan penyelarasan dari segi pembangunan intelektual dan sumber manusia membabitkan institusi agama sedia ada.

Katanya kebanyakan institusi Islam di negara ini tidak dikawal selia dengan baik dari segi pembangunan fizikal dan pembinaan sumber manusianya.

“Kita sudah ada fasiliti seperti jabatan dan majlis agama Islam di setiap negeri tetapi institusi ini kurang menyumbang kepada keupayaan sumber manusia dan khidmat masyarakat.

“Contohnya saya lihat institusi mufti tidak pernah diberi peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pencapaian diri dengan ilmu pengetahuan.

“Peranan Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan misalnya tidak pernah distrukturkan semula walaupun sudah ada ILIM (Institut Latihan Islam Malaysia) .

“Bagaimanapun peranan MDN bukan untuk mengambilalih institusi sedemikian sebaliknya untuk melihat kelompongan yang ada untuk ditambahbaik,” ujarnya.

Mahmood Zuhdi berkata, dengan dua usul dicadangkan itu diharapkan umat Islam lebih jauh kehadapan dalam menangani isu-isu semasa di negara ini.

Dalam perhimpunan diadakan seramai 50 orang agamawan, ahli politik dan profesional hadir membincangkan tiga usul yang dibentangkan Timbalan Pengerusi MDN oleh Prof Datuk Dr Zakaria Stapa.

Selain usul menubuhkan Majlis Syura Ilmuwan Islam dan Akademi Pembangunan Ummah, usul mengesa MDN lebih aktif untuk mengumpulkan lebih banyak institusi  Islam dan  tokoh masyarakat  agar bersama-sama dengan parti politik supaya dapat memainkan peranan masing-masing  untuk perpaduan dan membangunkan ummah.

Demi mengambilkira  pandangan sebahagian masyarakat yang bencikan perbalahan dalam menentukan strategi politik mereka agar percaturan politik dapat berlaku dengan adil dan saksama.

Perhimpunan diadakan MDN ini antara siri program berbentuk perbincangan meja bulat (RTD) yang diadakan oleh MDN sejak setahun lalu.

Sebelum ini MDN juga telah menganjurkan beberapa program sepeti Multaqa Perpaduan Ummah, Perhimpunan Agamawan Kebangsaan, Persidangan Meja Bulat Cina Muslim, Multaqa Belia dan Ilmuwan Islam, Persidangan Pendakwah Kebangsaan dan Multaqa Wanita Kebangsaan 2016.

  • Malaysia Dateline

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *