Home » Citra Yadim » Kefahaman dalam muamalah Islam sangat penting

Kefahaman dalam muamalah Islam sangat penting

KOTA BHARU 23 Sept. – Golongan remaja khususnya para pelajar perlu memahami dengan mendalam aspek-aspek dalam muamalah Islam kerana selain dapat menentukan halal haram sesuatu perkara itu, ia juga sangat penting dalam membina keperibadian seseorang Muslim itu.

Hal ini dijelaskan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Teknologi Mara Kelantan, Ustaz Mohd Nazri Mat Zin dalam program Forum Muamalah yang bertajuk `Kerja Halal  Rezeki Haram’ yang diadakan sempena Jelajah Muamalah Ummah 2016 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Politeknik Kota Bharu di sini pada 23 September 2016.

Beliau berkata, muamalah Islam penuh dengan pelbagai elemen yang dapat membentuk keperibadian manusia kerana ia menyentuh soal keyakinan kepada rezeki Allah, rasa syukur, bantu membantu dan keberkatan dalam mencari rezeki.

“Oleh yang demikian, dalam konteks seorang pelajar, apabila beliau memahami dengan baik konsep muamalah Islam maka ia akan menyebabkan motivasinya meningkat termasuk dari segi meningkatkan pencapaian akademik,’’ katanya.

Ini kerana, jelasnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, setiap pelajar itu perlu mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa rezeki itu ditentukan oleh Allah dan dengan sebab itu tiada alasan untuk mereka tidak mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Katanya, para pelajar perlu mengetepikan fahaman bahawa tidak lagi perlu berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dengan anggapan bahawa apabila tamat pengajian, terlalu sukar untuk mencari pekerjaan.

“Jika kita amati, keadaan ini juga ada kaitannya dengan akidah kita sebagai seorang Muslim kerana sebagai seorang Islam kita perlu sentiasa yakin terhadap Allah dan luasnya rezeki-Nya,’’ katanya.

Sementara itu, Pencetus Ummah (PU) Amin yang turut serta sebagai panel dalam program itu, memberikan tips kepada para pelajar yang ingin mendapat keberkatan dalam kehidupan mereka.

Beliau berkata, tips-tips itu ialah menjaga solat, tidak mengambil hak orang lain, sentiasa bersyukur, memperbanyakkan sedekah dan sentiasa bangun awal.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *