BENTONG, 9 Sept. – Lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam daerah Bentong menyatakan sokongan terhadap cadangan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, Mei lalu.
Serentak itu, seluruh NGO bergabung dibawah Sekretariat Ummat Menyokong Memperkasakan Akta 355 (Ummat) mendesak supaya Ahli Parlimen Bentong yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk turut menyokong usul persendirian itu yang bakal dibahaskan di Parlimen Oktober ini.
Pengerusi Sekretariat Ummat, Haji Aminuddin Yahaya berkata, gesaan itu adalah atas dasar semangat menghormati umat Islam demi menjaga keharmonian hubungan rakyat pelbagai bangsa dan agama.
“Liow selaku Ahli Parlimen Bentong sepatutnya menyokong gesaan rakyat yang telah mengundinya.
“Kami di pihak sekretariat akan terus berusaha menjelaskan kepada pihak yang lantang menentang usul 355 ini termasuk di Bentong sendiri,” katanya pada sidang media Himpunan Menyokong Pindaan Akta 355 disini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, rakyat atau pemimpin bukan Islam tidak sepatutnya mengganggu atau berterusan menimbulkan kekeliruan terhadap usul yang hanya melibatkan orang Islam di Malaysia.
“Kami tidak sesekali ingin menimbulkan kekecohan dan ketegangan hubungan pelbagai agama sebaliknya menuntut hak kami sebagaimana agama-agama lain juga diberikan hak yang sepatutnya.
“Justeru, kami mengajak semua umat Islam di Parlimen Bentong tanpa mengira latar belakang politik dan perbezaan pendekatan, untuk bersatu demi agama Islam dan menolak sebarang usaha yang cuba menghalang usul pindaan itu,” katanya.
Aminuddin berkata, sekretariat juga akan meneruskan usaha dalam memperjelaskan kepada rakyat dan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen di beberapa kawasan di seluruh negara berhubung isu tersebut.
“Selepas siri di Bentong, kita akan ke Johor seterusnya beberapa kawasan di Selangor, juga termasuk Sabah dan Sarawak. Terdapat lebih 40 kawasan yang kita akan jelajah untuk beri penerangan mengenai Akta 355 ini.
“Malah, kita juga akan adakan penganjuran kemuncak sebelum Dewan Rakyat bersidang dengan mengadakan forum secara besar-besaran di ibu negara pada 1 Oktober nanti,” katanya.
- Sumber : Ismaweb
KOMEN