Home » Langit Terbuka » Masyarakat China Muslim senang diterima di Malaysia

Masyarakat China Muslim senang diterima di Malaysia

GEORGE TOWN, 8 Sept. — Masyarakat Cina muslim dari negara China mudah diterima di Malaysia kerana komuniti itu sudah wujud di negara ini sejak zaman Laksamana Mohd Cheng Ho, kata Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) China Yusuf Liu Baojun.

Beliau berkata, masyarakat itu diterima baik di Malaysia dan perkara itu dapat dibuktikan dengan wujudnya masjid-masjid bercirikan seni bina Cina seperti Masjid Beijing di Rantau Panjang, Kelantan; Masjid Muhammadiah di Ipoh, Perak dan Masjid Cina Negeri Melaka.

“Kebanyakan komuniti China muslim yang datang ke Malaysia asal usulnya mereka berdagang atas faktor ekonomi. Di Kota Kinabalu misalnya ramai masyarakat Cina Islam. Di Terengganu, Kelantan dan Kedah juga ada penempatan masyarakat Cina muslim.

“Komuniti China muslim di negara ini semakin berkembang. Dari segi ekonomi kalau kita tengok mereka terlibat banyak dalam penghasilan restoren, Chinese Muslim Restaurant Association tu banyak di Malaysia. Persatuan Cina Muslim juga banyak di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas seminar bertajuk ‘General Information of Malaysian Chinese Muslim Communities’ bersempena pameran ‘Expression of Chinese Muslim Culture: Unity in Diversity’ yang berlangsung di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Yusuf yang sudah menetap di Malaysia selama 30 tahun dan fasih berbahasa Melayu berharap komuniti Malaysia-China Muslim dapat memainkan peranan penting untuk mewujudkan hubungan harmoni dalam kepelbagaian kaum di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM Zolkurnian Hassan berkata, pameran yang berlangsung dari 11 Ogos hingga 10 Sept itu bertujuan menyebarkan maklumat yang tepat mengenai masyarakat China Muslim di China dan di seluruh dunia.

Beliau berkata, pameran itu menghimpunkan pelbagai jenis koleksi seperti seni kaligrafi Islam dalam pelbagai jenis tulisan khat, artifak warisan China Muslim seperti seramik yang bertulisan khat Arab, numismatik China bercirikan Islam dan ukiran kayu.

“China merupakan penerima Islam yang terawal, sejak zaman khalifah lagi Islam sudah tersebar di China. Tujuan inilah yang kita bawa untuk memberi pendedahan yang lebih berkaitan masyarakat China Muslim,” katanya.

Beliau berkata, sejak 11 Ogos lepas sebanyak 3,000 pelawat telah mengunjungi pameran itu. — Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *