Home » Langit Terbuka » Terokai segmen 
sosial ekonomi Islam

Terokai segmen 
sosial ekonomi Islam

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Malaysia perlu meneroka potensi segmen sosial di dalam sistem ekonomi Islam dalam memperkasakan umat Islam di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, negara merupakan peneraju kepada segmen komersial ekonomi Islam yang bersifat menjana keuntungan dengan memperkenalkan per­khidmatan Lembaga Tabung Haji, Bank Islam dan skim Takaful.

Katanya, kejayaan menguasai segmen sosial secara holistik dan komprehensif akan menjadikan Malaysia sebagai pelopor utama ekonomi Islam.

“Malaysia menggunakan ke­rangka kewangan Islam bermula dari tahun 1960-an lagi dan sejak itu, kita menjadi panduan kepada negara-negara dunia yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan.

“Kini, sudah tiba masanya kita meneroka satu lagi segmen yang tidak kurang besar manfaatnya iaitu sosial ekonomi Islam. Segmen yang saya maksudkan adalah wakaf, zakat, sedekah, skim pinjaman dan dana orang awam yang jika dimanfaatkan secara betul mampu memperkasakan umat Islam dari segi ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menutup Persidangan Kebangsaan Ekonomi dan Kewangan Islam Ke-3, di sini hari ini.

Yang turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia, Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi menggesa rakyat terlibat secara langsung dalam penjanaan ekonomi dengan memanfaatkan kemudahan media sosial dalam berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Setiap individu di dalam negara ini boleh terlibat secara langsung dalam penjanaan ekonomi, contoh dalam konteks hari ini dengan memanfaatkan segmen digital ekonomi kerana semua orang ada telefon bimbit dan aktif dalam media sosial,” ujarnya.

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *