Turut maut pembantunya dalam insiden anti-Islam di New York
NEW YORK 14 Ogos – Seorang imam dan pembantunya ditembak mati selepas selesai menunaikan solat zuhur di Masjid Jame al-Furqan di Taman Ozone, Queens di sini semalam, dalam kejadian yang dipertanggungjawabkan ke atas Donald Trump kerana sering mencetuskan sentimen Islamophobia.
Maulama Akonjee, 55 dan pembantunya, Thara Uddin, 64, dikejarkan ke hospital, namun Maulama disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba, manakala Thara meninggal dunia empat jam kemudian.
Kejadian itu mencetuskan ketegangan apabila penduduk Islam berketurunan Bangladesh berkumpul di tempat kejadian dan menegaskan penembak memang menyasarkan mangsa dan dilakukan atas dasar kebencian.
Mereka turut menyalahkan Trump, calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan atas kejadian itu berikutan kelantangannya memburukkan imej penduduk Islam di negara ini.
“Ini semua salah Trump. Dia dan dramanya mewujudkan Islamphobia,’’ kata penduduk, Khairul Islam.
Menurut laporan New York Daily News yang dipetik oleh Mail Online, Maulama yang mempunyai tiga anak dan berasal dari Bangladesh tiba di Queens lebih setahun lalu dan disifatkan pemimpin agama yang dihormati.
Sementara itu, saksi-saksi berkata, penembak tersebut mempunyai tubuh yang tinggi dan berketurunan Amerika Latin.
Mereka berkata, penyerang membawa selaras senapang dan memakai baju berwarna biru gelap dan berseluar pendek.
Polis berkata, mereka menerima panggilan tentang kejadian tersebut kira-kira pukul 1.50 petang waktu tempatan.
Menurut polis, kedua-dua mangsa ditembak pada bahagian belakang kepala.
Menurut abang Thara, Mashuk, tembakan menyebabkan otak mangsa berkecai.
Tambahnya, mangsa juga tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak dan rutin hariannya hanya ke masjid dan kembali ke rumah.
Polis yang masih belum mengetahui motif kejadian kini memburu suspek.
Insiden Islamophobia di masjid, pusat Islam AS
3 Disember 2015
Masjid Manassas di Virginia terima ugutan bunuh daripada seorang lelaki yang mendakwa ada kaitan dengan Liga Pertahanan Yahudi.
6 Disember 2015
Kepala babi dicampak ke pintu Persatuan Islam al-Aqsa di Pennsylvania.
25 Disember 2015
Kebakaran berlaku Masjid Savoy di Texas, namun 200 orang jemaah selamat.
22 Januari 2016
Beberapa ahli Pusat Islam Tucson di Arizona berkali-kali menemukan botol arak di kawasan tempat letak kereta masjid.
28 Februari 2016
Ibu pejabat Persatuan Islam Amerika Utara di Illinois yang turut menempatkan masjid menjadi mangsa vandalisme dan dinding diconteng dengan perkataan menghina Islam.
15 Julai 2016
Sebuah masjid di Rhode Islands menjadi mangsa vandalisme ekoran kejadian serangan di Nice yang meragut 85 nyawa. Suspek memecahkan cermin tingkap Pusat Komuniti Muslim Masjid al-Hoda dan turut menconteng dinding.
KOMEN