Home » Langit Terbuka » Kaji semula kurikulum pendidikan agama bagi tangani fahaman ekstremis

Kaji semula kurikulum pendidikan agama bagi tangani fahaman ekstremis

KUALA KETIL 8 Ogos – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berpendapat kurikulum pendidikan agama Islam di setiap peringkat di negara ini perlu diteliti semula bagi menangani fahaman ekstremis.

Beliau berkata, usaha mendidik masyarakat melalui ilmu dan kefahaman khususnya dalam mengamalkan pendekatan wasatiyyah atau sederhana dilihat merupakan pendekatan terbaik menangani ekstremisme.

Katanya, kurikulum pendidikan agama daripada peringkat sekolah sehingga pusat pengajian tinggi serta sistem pondok seharusnya disesuaikan dengan realiti kehidupan masa ini.

“Contohnya maksud jihad … kena memberi makna atau memahamkan masyarakat apa sebenarnya jihad kerana jika didefinisikan oleh kelompok berkepentingan seperti pengganas, mereka akan memanipulasikan istilah jihad itu.

“Akhirnya yang jahil, tidak memahami prinsip dan pendekatan agama akan mudah menyalahgunakan perkataan jihad untuk melakukan tindakan-tindakan yang memudaratkan masyarakat, negara dan agama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi merasmikan Seminar Anti Ekstremisme Melalui Pendekatan Wasatiyyah anjuran Kolej Universiti Insaniah (Kuin); Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) dan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAG Malaysia) di kampus Kuin Kuala Ketil di sini, hari ini. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *