Hanya perlu majoriti mudah kelulusan di Dewan Rakyat
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR 18 Julai – Pas melahirkan keyakinan Rang Undang-Undang 355 bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang dibentangkan pada 26 Mei lalu dan hanya memerlukan majoriti mudah, akan diluluskan Dewan Rakyat dalam sesi persidangan akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada penerimaan positif rakyat terhadap usaha murni tersebut selain percaya wakil rakyat beragama Islam sedar sokongan ke atas perkara berkenaan merupakan tanggungjawab politik.
Malah, Ahli Parlimen Marang itu juga menjangkakan selepas rang undang-undang tersebut dilaksanakan dan diperluaskan, orang bukan Islam akan mula memilih syariat Islam kerana melihat undang-undang Islam dilaksanakan secara adil di bawah Mahkamah Syariah.
Bagaimanapun katanya, kepada pihak yang menentang usaha bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah terutamanya DAP, mereka bebas untuk berbuat demikian tetapi penentangan berkenaan tidak sedikitpun berupaya menggugat komitmen Pas dan majoriti umat Islam.
“Tanggungjawab yang sangat penting pada hari ini adalah untuk meminda (Akta) 355 (mengenai) bidang kuasa mahkamah syariah. Kalau dia (orang Islam) tak nak menaikkan taraf mahkamah dia, apa guna dia jadi orang Islam?
“Sebagai orang Islam menjadi tanggungjawab kita memperkasakan syariat Islam, ini bukan permainan politik, tetapi tanggungjawab politik yang mesti ditunaikan,” katanya semasa berucap pada majlis Himpunan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Islam di sini malam semalam.
Perhimpunan disertai 76 NGO Islam bertempat di Pusat Islam itu bertujuan menyatakan sokongan kepada usaha memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui pindaan terhadap Akta 355 yang usulnya dikemukakan Abdul Hadi.
Jika diluluskan kelak, pindaan tersebut akan membolehkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang ketika ini hanya terhad bagi menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan, denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun akan dipertingkatkan.
Sempena majlis itu, Abdul Hadi turut melancarkan Facebook Kempen Sokong Pinda Akta 355 dan laman berkenaan, https://m.facebook.com/sokongpindaAkta355/ akan menjadi platform untuk sesi perbincangan, memberi input kepada orang ramai, menyenaraikan kronologi parlimen serta perkara-perkara berkaitan Mahkamah Syariah.
Dalam perkembangan yang sama, Presiden Pas itu membidas tindak-tanduk sebilangan pemimpin Islam, khususnya wakil rakyat pembangkang kerana sanggup bersama-sama dengan orang bukan Islam untuk menentang usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di negara ini.
“Mahkamah Syariah hanya berkait dengan orang Islam sahaja, tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Kenapa orang bukan Islam hendak menentang? Ini saya rasa pelik dan mengapa ada (orang) Islam menyokong bukan Islam, ini lagi pelik,” katanya.-: https://www.utusan.com.my/
KOMEN