PUTRAJAYA, Khamis – 500 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di bawah Sekretariat Ummah Menyokong Memperkasakan Akta 355 (Ummat) hari ini mengisytiharkan sokongan padu terhadap usul persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketua Sekretariatnya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sebagai usaha membuka mata masyarakat dan lebih memperjelaskan mereka mengenai akta itu, mesyuarat kedua sekretariat hari ini memutuskan untuk melaksanakan tiga langkah sebagai menzahirkan sokongan padu mereka.
“Sekretariat Ummat akan melakukan gerakan penerangan ke seluruh negara bagi menjernihkan persepsi kepada pelbagai lapisan masyarakat mengenai isu-isu berkaitan usul persendirian Akta 355.
“Keduanya, kami akan mendekati warganaegara bukan Islam melalui NGO mereka bagi mengadakan dialog dan perbincangan demi memperbetulkan tanggapan salah mengenai asal usul tersebut.
“Dan yang ketiga, kami akan memperkukuh sokongan dan desakan kepada semua ahli-ahli Parlimen, melalui penganjuran perhimpunan aman, usaha mendapatkan sokongan petisyen rakyat serta penyerahan memorandum sokongan kepada pihak parti pemerintah Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.
Bagi memperkukuh usaha itu, Haji Aminuddin menyeru agar semua Ahli Parlimen serta masyarakat tanpa mengira latar belakang politik mahupun perbezaan pendekatan untuk menyokong pindaan Akta 355 yang bakal dibahas pada Oktober ini.
“Atas semangat menghormati kedaulatan Islam sebagai agama negara dan mengangkat martabat sistem perundangan syariah sebagai sebahagian institusi demokrasi di negara ini, kami menyeru semua untuk memberi sokongan padu terhadapnya.
“Kita juga menggesa agar ruang diberikan kepada umat Islam melalui proses demokrasi berpelembagaan untuk mengangkat martabat perundangan syariah di negara ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, sebarang pandangan bertentangan, mengelirukan serta memperlekehkan usaha berkenaan mestilah dianggap sebagai menolak amalan yang telah sedia ada diterima pakai di negara ini.
“Ianya juga adalah satu cubaan menghasut serta menghina institusi Parlimen dan Yang Dipertuan Agong sebagai ketua agama Islam yang mengangkat sumpah jawatan untuk memelihara Islam pada setiap masa menurut Fasal 37 (1) Perlembagaan Persekutuan,” tegas Aminuddin.
Ini kerana, katanya, umat Islam berhak untuk menikmati hak kebebasan di dalam agama mereka khususnya pada menjalankan perintah berkaitan dengan ajaran agama
Bagaimanapun, pada masa sama, beliau berkata, jaminan kebebasan beragama juga diberikan kepada penganut agama lain di negara ini.
“Justeru, sikap menghormati prinsip ini perlu dijunjung semua pihak dan tidak dikesampingkan seperti yang terzahir hari ini apabila pendekatan menyerang dan memperlekehkan Islam dibuat susulan cadangan pindaan Akta 355 tersebut dimulakan,” katanya. ISMAWEB
KOMEN