Suatu hari, Rasulullah SAW mengajak Khalid ibn Walid mengunjungi isteri Baginda, Maimunah, yang juga makcik sebelah ibu Khalid yang baru dinikahinya. Melihat kedatangan sang suami tercinta berserta anak saudaranya, Maimunah menghidangkan daging dab (binatang padang pasir, seakan-akan biawak kecil).
Ketika Baginda Rasulullah menghulurkan tangan untuk mengambil daging yang dihidangkan, seorang perempuan yang berada di dalam bilik Maimunah berkata: “Maklumkan kepada Rasulullah tentang daging yang kalian hidangkan kepada Baginda itu.”
“Wahai Rasulullah! Ini daging dab,” ucap salah seorang tetamu yang hadir.
Sejurus mengetahui tentang daging tersebut, Rasulullah menarik kembali tangannya. Melihat hal itu, Khalid bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah daging dab ini haram?”
“Tidak.” Jawab Baginda.
“Hanya kerana daging dab ini tidak terdapat di daerah kaumku. Kerana itu, aku berasa kurang berselera memakannya,” jawab Baginda dengan lembut agar tidak melukai hati isterinya yang telah menyiapkan hidangan daging panggang tersebut.
Menurut Abu Hurairah RA, Baginda Rasulullah tidak sesekali mencela makanan. Jika menyenanginya, Baginda akan memakannya. Namun jika tidak, Baginda akan meninggalkannya. (HR Bukhari & Muslim). – MAJALAH DAKWAH
KOMEN