KUALA LUMPUR 25 Mei – Pelaksanaan program Sifar Kes Tertunggak (Siket) yang diperkenalkan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) pada 1 Mac lalu berjaya menyelesaikan sejumlah 1,446 kes daripada keseluruhan 3,468 kes tertunggak sejak tiga tahun.
“Melalui program ini, saya yakin ia boleh memberikan anjakan kepada pembaharuan sistem pengurusan di Mahkamah Syariah serta boleh mengubah persepsi orang ramai apabila membicarakan soal penceraian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Penyampaian Sijil Amalan Peguam Syarie 2015 dan perasmian Program Siket, Key Focus Activity (KFA) Sulh dan kaunter ‘Do It Yourself (D.I.Y)’ di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Datuk Mohammad Ibrahim dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.
Dalam majlis sama, seramai 103 peguam syarie menerima pentauliahan sebagai Peguam Syarie Wilayah Persekutuan.
Jamil Khir berkata, sasaran utama program Siket ini adalah menyelesaikan 100 peratus kes tertunggak MSWP dalam tempoh tiga tahun selain kes yang baharu didaftarkan dalam tempoh 10 bulan.
“Sehingga 30 April lalu, MSWP berjaya menyelesaikan 42 peratus yang mewakili 1,446 kes tertunggak dalam tempoh dua bulan pelaksanaan program,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan program ‘Key Focus Activity’ (KFA) Sulh yang merupakan satu daripada strategi di bawah SiKeT bertujuan mempercepatkan prosedur kerja Sulh bermula daripada pendaftaran sehingga perintah bersih dikeluarkan.
“Melalui program KFA Sulh ini, tempoh pengeluaran Perintah Perjanjian penyelesaian telah berjaya dikurangkan daripada tempoh 14 hari kepada hanya sejam dan sejak dilancarkan 1 Mac lalu, sebanyak 147 kes Perintah Bersih berjaya dikeluarkan dalam tempoh sejam selepas kelulusan diberi,” katanya.
Tegasnya Jamil Khir, kaunter D.I.Y pula adalah inisiatif bagi memudahkan urusan pelanggan dalam penyediaan penyata tuntutan kes, selain meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat penulis petisyen.
Sementara itu, Musa berkata, PGSM menyambut baik langkah yang dilaksanakan oleh MSWP dalam usaha mempercepatkan penyelesaian kes yang ada ketikanya mengambil tempoh terlalu lama untuk diselesaikan.- UTUSAN
KOMEN