SWEDEN 25 Mei – Bagi mengatasi ancaman keganasan, Sweden memberi pembiayaan bagi menaja kursus latihan imam pertama di ibu kota negara itu.
Kursus itu juga adalah untuk memperkenalkan pemimpin kerohanian dengan versi Islam yang mana ia sesuai dengan budaya tempatan, berbanding bentuk radikal yang mungkin diperoleh mereka di luar negara.
Kursus berkenaan dalam bentuk geran pendidikan tahunan akan diagihkan kepada pusat pendidikan dewasa Sweden yang akan membiaya program vokasional Islam di Kista Folkhögskola.
Pengetua sekolah, Abdulkader Habib berkata, pihaknya akan mengajar mengenai teologi Islam dan kepemimpinan.
“Tahun pertama cuma pengenalan manakala tahun berikutnya, program akan lebih meluas dan mendalam.
“Program itu dalam tempoh setahun akan menyediakan asas dalam teologi Islam dan kepemimpinan kepada mereka yang mahu meneruskan pendidikan untuk menjadi imam,” katanya.
Selain itu katanya, beliau percaya dengan menawarkan kursus latihan Islam kepada golongan muda Islam dan pendatang terutama pelajar sekolah tinggi dapat membantu melahirkan ulama yang biasa dengan nilai negara Scandinavia itu.
Kursus keagamaan itu juga akan menjadi benteng kepada sebarang idea radikal yang mungkin ada dalam komuniti Islam. -Agensi
KOMEN