PUTRAJAYA, Rabu — Logo Halal Malaysia adalah panduan terbaik bagi semua pengguna terutamanya umat Islam dalam memilih premis makanan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.
Justeru, beliau menasihatkan pengguna agar bijak dan peka dalam membuat pilihan, berikutan isu papan tanda ‘tiada babi’ atau ‘No Pork’ yang digunakan segelintir pengusaha premis makanan yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
“Produk yang mempunyai logo Halal Malaysia sememangnya terjamin halal dan bersih atau halalan tayyiba.
“Mungkin pengusaha premis makanan atau pemilik restoran itu mempunyai tujuan dan niat tersendiri, namun papan tanda sebegini pada hakikatnya boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan pengguna terutamanya umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata permohonan Pensijilan Halal Malaysia telah dipermudahkan dengan sistem e-halal bagi menggalakkan pengusaha memohon sijil itu.
Di samping itu, Othman berkata pengguna juga boleh membuat semakan status halal menerusi Direktori Halal Malaysia di www.halal.gov.my atau melalui aplikasi mobile myJakim di peranti android dan iOS.
Katanya, Jakim sentiasa menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Agama Islam Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan kepentingan masyarakat Islam sentiasa terjamin khususnya dalam mendapatkan makanan dan produk yang halal.
“Ianya juga bagi mengelakkan pengguna Islam terkeliru dan sebagai usaha meningkatkan keyakinan pengguna terhadap Pensijilan Halal Malaysia,” katanya. Othman berkata Jakim juga akan bergerak seiring dengan apa saja ketetapan yang dibuat Jabatan Agama Islam Negeri dan KPDNKK dalam menangani isu itu.— Bernama
Sumber daripada https://www.ismaweb.net/
KOMEN