Home » Persuasif » Azam baru yang lain sedikit

Azam baru yang lain sedikit

sumber

Alhamdulillah, syukur kerana Allah SWT masih panjangkan usia kita dan dapat menikmati kehadiran tahun baru 2016 ini. Lazimnya tahun baru ini menjadi penanda aras untuk meletakkan pelbagai sasaran dan matlamat yang hendak dicapai sepanjang tahun. Hasilnya akan dinilai pada penghujung tahun sama ada apa yang mahu digapai itu telah berjaya diperolehi atau belum. Kalau belum, apakah kelemahan-kelemahan yang telah menghalang kejayaan tersebut. Sekurang-kurangnya, kita ada matlamat yang jelas, bukan?

Sebagai contoh, kita mahu membeli sebuah rumah yang selesa untuk kediaman keluarga. Tetapi, impian tersebut masih belum mampu dicapai disebabkan faktor wang yang belum mencukupi. Jadi, untuk tahun berikutnya kita perlu meneliti apakah kaedah yang perlu digunakan bagi merealisasikan keinginan itu. Sama ada mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting, melipatgandakan simpanan dengan melakukan pekerjaan sampingan ataupun cuba usahakan rumah yang diidamkan tetapi dengan harga yang lebih murah.

Ataupun azam kita adalah untuk memperbanyakkan sedekah iaitu sentiasa berasa bermurah hati untuk memberi kepada mereka yang memerlukan ataupun menyumbang ke masjid atau surau. Tetapi apabila dicongak, kita masih belum mengimarahkan amalan tersebut kerana sikap kita yang mungkin masih berkira ataupun takut hendak memberi dalam jumlah yang besar. Justeru, sikap itulah yang perlu dimuhasabah supaya amalan yang amat digalakkan oleh Islam ini menjadi salah satu amalan wajib dalam kehidupan.

Selamat tahun baru diucapkan kepada semua. Tahun baharu pasti datang dengan azam baharu yang berderet. Ada azam mesti ada cabaran yang perlu dihadapi untuk mencapainya. Namun, tidak dapat disangkal, tahun ini sudah tentu menjadi tahun yang lebih mencabar dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Walau bagaimanapun, mahu tidak mahu kehidupan perlu diteruskan. Keluhan memang tidak dapat dielakkan terutama bagi golongan ibu bapa. Selain daripada menyediakan kelengkapan sebelum memasuki sesi pembelajaran di tahun baharu termasuk pakaian, alat tulis, yuran sekolah, buku-buku rujukan dan sebagainya, ibu bapa juga perlu sentiasa menyediakan tabung kecemasan untuk sebarang keperluan mendatang bagi memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

Tidak dinafikan terlalu banyak keluhan yang diluahkan oleh semua pihak mengenai permasalahan ini yang mahu tidak mahu perlu dihadapi walaupun dalam keadaan sukar. Yang penting kita ada Allah yang sentiasa Pemurah dengan rezeki yang tidak putus-putus dikurniakan kepada hamba-hambaNya. Kita berusaha setakat yang termampu. Kalau mahu membuka perniagaan bagi menampung keperluan kehidupan seharian, buatlah dengan niat yang baik. Bukan mahu bersaing dengan cara tidak sihat.

Saya terbaca tentang kesepakatan yang ditunjukkan oleh pemilik-pemilik kosmetik kecantikan yang semakin mendapat tempat di negara iaitu Dato’ Aliff dengan produk D’Herbs, Dato’ Seri Dr. Vida dengan Qu Putehnya dan Rita dengan Nouvelles Visages. Mereka dikatakan sering mengadakan perbincangan berkaitan pengeluaran dan pemasaran produk mereka. Ini adalah antara contoh terbaik. Mungkin ramai pengeluar produk muslim di luar sana telah mempraktikkan kaedah ini tetapi oleh kerana mereka ‘puclic figure’ orang ramai sudah mula menyelidik strategi peniagaan meraka. Mana yang baik apa salahnya diikut, bukan?

Kita sebagai muslim sewajarnya menyokong produk hasil keluaran muslim namun kita juga sedar kekangan yang berlaku. Dahulu, masyarakat kita sangat selektif terhadap produk muslim kerana perbezaan harga. Barang keluaran muslim seperti ubat gigi, sabun dan makanan memang agak mahal berbanding produk yang sedia ada di pasaran. Namun, peredaran masa telah menyedarkan masyarakat bahawa siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menyokong hasil titik peluh muslim kalau bukan kita sendiri. Belilah setakat yang termampu. Sekurang-kurangnya ada juga saham kita di situ daripada sibuk melabur wang di McDonald danStarbucks.

Sokongan terhadap produk tempatan muslim ini boleh juga kita senaraikan sebagai antara azam tahun baharu kita. Mulalah membuat carian mengenai produk-produk ini dan usahakan perlahan-lahan kerana bukan mudah untuk menukar sepenuhnya kerana kita sebagai pengguna tabiatnya lebih suka mencari sesuatu yang murah dan paling murah.

Mesti ada yang tertanya-tanya apa relevannya azam mahu menggunakan produk muslim dengan tahun baru? Sudahlah kos sara hidup tinggi. Barang tempatan bukannya murah. Produk Nescafe dan Milo lebih murah daripada produk Cocoa Tamar dan Kopi 3 dalam 1 Premium keluaran AgroMas. Mesejnya satu iaitu teruskanlah usaha membangunkan ekonomi umat Islam.

Oleh sebab itu, antara cara yang boleh kita gunakan ialah dengan memilih produk yang mampu milik. Sedikit pun tiada masalah asalkan kita ada menunjukkan sokongan tersebut.

Kebelakangan ini pun, saya rasa kita harus berbangga kerana kalau kita Instagram, ramai usahawan muda dan muslim yang memperkenalkan produk seperti tudung, selendang, jubah lelaki, dress muslimah, produk kecantikan sendiri dan pelbagai lagi. Malah di Bangi sekarang ini kedai-kedai menjual pakaian muslimah tumbuh bagai cendawan selepas hujan sehingga dipusatkan semua kedai tersebut di satu tempat dinamakan Bangi Sentral. Bukankah ini suatu perkembangan yang amat sihat?

Saya juga sedang berusaha untuk memasukkan produk muslim dalam senarai barang runcit saya. Selamat tahun baru. Semoga apa-apa sahaja azam yang membawa kebaikan dipermudahkan urusannya dan mampu dicapai.

Editor.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *