Tajuk buku                : Tokoh-tokoh Agama & Kemerdekaan Di Alam Melayu
Penulis             : Tajuddin Saman & Abd Manaf Ahmad
Penerbit                     : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Harga                         : RM17.00
Cetakan                     : Ketiga (2016)
Jumlah halaman       : 137
ISBNÂ Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â : 983-9878-62-X
Â
Apabila menyorot tentang perjuangan tokoh-tokoh agama dan kemerdekaan dahulu, pasti di fikiran kita terbayangkan tentang ketinggian ilmu agama, kekuatan rohani dan jerih payah yang terpaksa mereka hadapi bagi menangani permasalahan ummah dan situasi pada masa itu.
Namun, berapa ramai di antara kita yang benar-benar mengenali tokoh-tokoh yang pernah berjasa kepada tanahair dan Nusantara kita ini? Sekadar menyebut beberapa nama seperti Hamka, Tok Kenali, Haji Agus Salim dan Idris Al-Marbawi, sebenarnya nama-nama ini merupakan antara nama yang popular dalam perkembangan Islam di Nusantara. Bagaimana pula dengan nama-nama yang jarang-jarang kita dengar tetapi sebenarnya telah menyumbang jasa yang juga besar dan bermakna?
Buku Tokoh-tokoh Agama & Kemerdekaan Di Alam Melayu ini adalah sebuah buku yang memuatkan biografi ringkas 28 orang ulama yang sangat popular di alam Melayu pada awal dan pertengahan abad ke-20. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengambil inisiatif mencetak semula buku ini untuk kali ketiga bagi memberi pendedahan tentang peranan yang telah dimainkan oleh para ulama ini kepada masyarakat terutama golongan muda.
Ramai yang mengetahui, pada zaman ini, sekiranya kita bertanya kepada golongan muda yang ralit dengan tablet dan telefon pintar, adakah mereka mengenali tokoh-tokoh ini, boleh dijamin ramai yang tidak mengetahui dan tidak mempedulikan siapakah mereka ini sebenarnya.
Perubahan budaya dan teknologi yang menular masuk dalam masyarakat telah menyukarkan generasi muda menjadikan aktiviti membaca dan mengkaji sebagai amalan mereka. Generasi sekarang terlalu dimomokkan dengan carian enjin ‘google’ yang memang sentiasa bersedia memberi maklumat yang dimahukan tetapi maklumat itu terutama melibatkan persoalan keagamaan perlu ditapis dahulu dan tidak boleh diterima mentah-mentah.
Usaha penulis untuk membangkitkan semangat Melayu-Islam dengan mendedahkan liku-liku kehidupan para tokoh, perlu dimanfaatkan dengan menelaah buku yang memaparkan kehidupan tokoh-tokoh terkemuka ini. Peranan tokoh-tokoh agama dan kemerdekaan pada zaman silam ini memang wajar dikenang dan diceduk segala pengalaman mereka dalam mendepani masalah masyarakat yang semakin meruncing dan membimbangkan pada hari ini.
Pada suatu ketika dahulu golongan ulama inilah yang telah memainkan peranan yang amat besar dengan membawa perubahan dalam pendidikan masyarakat pada masa itu. Mereka menyalurkan perkembangan pemikiran, penulisan dan ilmu pengetahuan tentang Islam melalui sekolah pondok, madrasah dan sekolah Arab.
Keberanian mereka menentang penjajah juga harus dicontohi. Tentang bagaimana mereka memiliki semangat juang yang kental demi mempertahankan tanahair daripada terus dijajah. Perjuangan mereka bukan sekadar dalam bentuk fizikal tetapi ada yang menggunakan medan penulisan sebagai medan untuk menyuburkan semangat patriotik kepada masyarakat. Sebagai contoh, kemunculan Majalah Imam dan Pengasuh yang berjaya menjadi suara ulama. Begitu juga dengan penulisan novel seperti yang telah dilakukan oleh Hamka dan penulisan cerpen oleh Tok Kenali. Selain menjadi tokoh reformasi seperti Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin.
Golongan muda digalakkan membaca buku-buku tokoh seperti ini agar mereka dapat mengenali siapakah individu-individu yang telah berjasa ini. Selain membaca, mereka juga menambah pengetahuan dan dapat pula berkenalan dengan tokoh bangsa Melayu Islam terkemuka supaya sekurang-kurangnya kita mampu meneladani sikap dan ketokohan mereka dalam membawa perubahan keislaman kepada masyarakat.
Editor.
KOMEN