Kuala Lumpur: Malaysia dan negara Islam lain perlu menjadi peneraju industri halal global dan tidak membiarkan ia terus dikuasai negara bukan Islam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata negara Islam ketika ini ketinggalan dalam ekonomi halal, manakala syarikat antarabangsa bukan Islam pula menerajui industri itu.
Katanya, banyak cendekiawan Islam yang mengilhamkan idea bagi industri halal, namun negara Islam ketinggalan kerana syarikat bukan Islam lebih pantas menyambar pasaran itu.
“Sehubungan itu, kita perlu bersatu dan menyelaras usaha kita untuk berada di barisan hadapan dalam industri halal,” katanya berucap pada majlis pelancaran Persidangan Halal Institut Standard dan Metologi Negara-negara Islam (SMIIC) di sini, semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohammad Diah; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung SMICC, Ihsan Ovut.
Ahmad Zahid berkata, isu industri halal bukan hanya membabitkan agenda sesebuah negara tetapi ia adalah usaha bersepadu banyak negara.
Katanya, usaha itu memerlukan program pembinaan kapasiti berstruktur, memastikan bekalan halal global yang efisien dan tanpa sempadan untuk mengembangkan halal daripada industri istimewa ketika ini kepada industri dan ekonomi perdana global.
“Industri halal bukan hanya terbatas kepada makanan tetapi turut meliputi perkhidmatan iaitu kewangan dan perbankan, insurans, pendidikan dan latihan, penyelidikan, persijilan, perundingan logistik dan penjagaan kesihatan serta pengembaraan dan pelancongan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, langkah mempromosikan Malaysia sebagai ekonomi halal global adalah elemen penting dalam Pergerakan Kesederhanaan Global yang diperjuangkannya untuk menangani Islamofobia.
Katanya, iltizam Malaysia untuk mempromosikan industri halal ‘adalah jauh melangkaui aspek komersil’ dan industri halal boleh menunjukkan kepada masyarakat global bahawa Islam adalah agama yang cintakan keamanan.
“Dengan jangkaan populasi umat Islam di seluruh dunia 1.3 billion orang pada tahun 2030, kita bukan cuba untuk menunjukkan kekuatan menerusi ketenteraan.
“Tetapi, hanya mahu berkongsi dengan dunia akan produk halal kita,” katanya.
Sumber daripada bharian.
KOMEN