Home » Persuasif » Paha wanita lebih murah dari paha ayam?

Paha wanita lebih murah dari paha ayam?

sumber

Bagi penggemar paha ayam, bahagian ini memang enak dimakan sehingga menjilat jari. Namun, apabila disamakan paha ayam dengan paha manusia, adakah itu hanya mengundang kemarahan di kalangan kaum hawa? Ada dua bentuk kemarahan yang barangkali akan timbul. Sama ada dimarahi oleh golongan yang membuka aurat kerana menyamakan tubuh badan mereka dengan paha haiwan atau dimarahi kerana merendah-rendahkan kaum hawa sendiri.

Bukan untuk menimbulkan kemarahan, tetapi mahu membawa kaum hawa merenung tentang betapa indahnya ciptaan Allah SWT kepada kaum wanita. Dan keindahan itu pasti akan berganda andai kita mematuhi syarak iaitu menutup aurat bagi mengelak fitnah dan menambah dosa kepada Allah SWT.

“Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah adalah wanita solehah”  Riwayat Muslim.

Pemahaman tentang kepentingan menutup aurat telah banyak dibincangkan dalam pelbagai medium sama ada dalam bentuk visual, audio, grafik, penulisan dan sebagainya. Namun, dalam ramai yang semakin menyedari tentang kepentingan menutup aurat dan mula berhijab sebagai langkah permulaan hijrah, masih ramai juga yang dengan senang mendedahkan aurat di khalayak ramai.

Mendedahkan aurat di kalangan wanita pada hari ini sudah dianggap perkara biasa. Perasaan malu sudah hilang daripada diri. Ia bukan suatu yang pelik jika wanita bukan Islam yang berimej sedemikian tetapi jika wanita Islam yang mempamerkan aurat pasti kita akan berasa hairan dan tertanya-tanya, apakah yang mendasari tindakan mereka melanggar larangan Allah SWT? Adakah mereka tidak terkesan dengan peringatan tentang balasan mengerikan terhadap kaum wanita yang mendedahkan auratnya di khalayak umum?

Sebenarnya apa tujuan atau keinginan wanita yang mempamerkan anggota badannya yang harus ditutup? Adakah mereka memegang prinsip hanya boleh dilihat tapi dilarang untuk disentuh. Buktinya kalau ada yang menyentuh, pasti akan dimarahi ataupun keluar perkataan ‘kurang ajar’ atau gila seks atau apa sahaja bagi memuntahkan kemarahannya.

Adakah tujuannya untuk menarik perhatian kaum lelaki semata-mata? Tidak dinafikan, itu adalah salah satu tarikan kepada kaum adam. Namun, tentu yang tertarik hanya lelaki berhidung belang atau yang tidak setia. Ataupun kalau lelaki yang dikatakan setia, itu hanya untuk juadah mata. Hiburan mata, kata mereka sehingga timbulnya perkataan yang selalu dijadikan bahan gurauan, “sudah terbentang di hadapan mata, mana boleh tak tengok. Itu rezeki namanya. Ataupun, “kali pertama tengok Masya Allah itu dosa. Kali kedua, itu rezeki. Rugi kalau dilepaskan.” Inilah adalah usikan-usikan nakal yang sering bermain di bibir-bibir orang lelaki.

Ada juga segelintir kaum wanita yang bersikap liberal melihat menutup aurat adalah hak masing-masing. Apabila meninggal dunia kelak, semua orang akan duduk di kubur masing-masing. Baginya, dosa dia, biar dia sendiri yang tanggung. Masya Allah…kalau semua yang hidup sudah tahu betapa seksanya azab kubur sudah tentu mereka tidak berani keluarkan pernyataan sebegitu.

Ada juga yang menepis teguran orang lain dengan mengatakan tidak perlu sibuk dengan hal orang lain. Lebih elok kalau jaga hal sendiri. Dengan memberi alasan dia hanya mahu menjadi diri sendiri dan tidak hipokrit dia. Selain mempertikaikan orang yang bertudung litup pun melakukan dosa secara terbuka.

Ya, itu betul. Seseorang yang memakai tudung dan sempurna menutup aurat belum dijamin dia baik tetapi kalau tidak menutup aurat, adakah kita dikira baik kerana melanggar perintah Allah SWT?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman,  agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung hingga ke paras dada dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara-saudara perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.  Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang yang beriman, agar kamu beruntung.”  (An-Nur 24: 31).

Oleh sebab itu, perasaan malu itu amat penting ditanam dalam diri setiap kaum wanita. Malu mendedahkan badan kerana tubuh badan yang Allah kurniakan adalah eksklusif untuk golongan yang halal untuk melihatnya. Bukan hanya paha yang perlu dihijab. Seluruh tubuh wanita kecuali muka dan tapak tangan. Ia bukan percuma. Ia mahal dan tidak ternilai, bukan untuk dipamer tetapi untuk disembunyikan. Sesungguhnya, perintah Allah SWT itu jelas dan nyata dan apakah hak kita untuk menyangkalnya dengan seribu alasan?

Malu itu adalah perisai. Ia adalah jiwa rasa yang manis untuk dipakaikan dalam diri setiap diri wanita. Kerana malu itu akan menjadikan dia seorang yang bermaruah tinggi. Kedudukan wanita itu mulia dan dia akan dipandang lebih mulia sekiranya dia pandai menjaga diri sendiri.

Editor.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *