KAJANG, 6 September – Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menunjukkan keprihatinan dengan mengunjungi bayi Nurul Amerina, dua bulan yang kini dirawat di Wad NICU, Hospital Kajang. Amerina yang menghidap sakit jantung berlubang merupakan bayi kepada saudara baru iaitu Mohd Tony Moey. Nurul Amerina juga disahkan menghidap sindrom down dan memerlukan kos rawatan pembedahan sebanyak RM70,000 yang dijangka akan dijalankan di Institut Jantung Negara.
Kunjungan tersebut adalah satu aktiviti dalam program Ziarah Mahabbah Mualaf (MAHABBAH). Melalui program ini, MPWIM berusaha mengenalpasti permasalahan dan cabaran kehidupan yang dihadapi oleh golongan saudara baru di Malaysia sama ada masalah peribadi, keluarga, kerjaya dan masyarakat.
Program ini diharap dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh saudara baru dari segala aspek kehidupan mereka agar keimanan mereka terhadap ad-din diperkukuhkan dan dimantapkan dalam menongkah arus kehidupan di Malaysia. Selain dari itu, menerusi MAHABBAH, jaringan dua hala antara MPWIM dengan NGO-NGO dan juga jabatan-jabatan kerajaan di Malaysia dapat dijalin dalam gerakan pembangunan jati diri muslim mualaf, pembangunan sosio ekonomi dan pendidikan.
MPWIM yang diwakili oleh Dr. Nur A’thiroh Masyaa’il Tan @ Tan Ai Pao dan Datin Aisyah Abdullah juga sempat berbual dengan kedua ibu bapa kepada bayi Nurul Amerina dan ternyata mereka sangat tabah dan redha dengan takdir Allah SWT.
“Pada mulanya memang sukar untuk menerima kenyataan apabila melihat keadaannya. Namun, saya perlu cekal dan kuat menghadapi situasi ini, sentiasa berusaha dan berdoa kepada Allah SWT supaya diberi kesembuhan kepada Nurul Amerina,” ujar Fatimah Turaji, ibu Nurul Amerina dalam nada sedih.
“Kami memohon bantuan rakyat Malaysia yang prihatin untuk membantu meringankan beban kos rawatan selain mengharapkan doa daripada semua orang.”
Wakil MPWIM turut menghulurkan sedikit sumbangan bagi membiayai kos pembedahan Nurul Amerina.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Hong Leong Bank 06900045310 MoreTech Ent atau menghubungi Mohd Tony Moey (bapa) di talian 0124703081 /01126296916.
KOMEN