TEL AVIV, Isnin – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan pembinaan pagar di sepanjang sempadan Israel dengan Jordan sebagai usaha menghalang kemasukan pelarian Syria ke negara berkenaan.
Netanyahu berkata, bahawa beliau tidak akan membenarkan Israel ‘ditenggelami dengan pendatang haram dan aktivis pengganas’.
“Israel tidak ambil peduli dengan tragedi pelarian Syria dan Afrika… tetapi Israel adalah sebuah negara yang kecil, sangat kecil, tanpa kedalaman demografi atau geografi. Sebab itu kita perlu mengawal sempadan kita,” katanya.
Pengumuman itu dibuat, sehari selepas Isaac Herzog, ketua pembangkang Israel berkata, bahawa Israel perlu menerima pelarian Syria sebagai tanda mengingati nasib Yahudi ketika mencari perlindungan daripada konflik suatu masa dahulu.
Susulan itu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas menggesa Israel untuk membenarkan rakyat Palestin dari kem-kem pelarian Syria untuk kembali ke wilayah Palestin di mana sempadan luar dikawal oleh pihak Israel.
Pagar baharu sepanjang 30 kilometer itu menjadi penyambung halangan untuk 240 kilometer pagar yang sedia ada di sepanjang sempadan Mesir.
Israel juga telah membina pagar sepanjang sempadannya dengan Syria melalui wilayah jajahannya di Golan Height dan melalui Tebing Barat.
Natanyahu juga berkata, kerja untuk membina lebih banyak lagi pagar di sempadan masih dalam perancangan. – Agensi
Sumber daripada www.ismaweb.com
KOMEN