Home » Wacana » Pesan Tok

Pesan Tok

sumber

Oleh KHALEED HAFIDZ

Sambil bersimpuh, tangannya memainkan songel tembakau yang tersentil di bibir. Tok memulakan cerita…

“Allah SWT telah menganugerahkan kebebasan kepada semua hamba-Nya. Dia tak pernah menyekat. Hiduplah macam mana pun, asalkan tak melanggar syariat.

“Khalifah Umar bin Al-Khattab pernah berkata: “Bilakah kamu menganggapkan manusia ini hamba kamu, padahal mereka telah dilahirkan oleh ibu mereka sebagai makhluk yang merdeka?

“Jadi, tak ada sesiapa pun boleh mendakwa dialah yang beri kebebasan kepada manusia lain sama juga halnya tak ada seorang pun daripada kalangan manusia yang berhak untuk merampas sebarang bentuk kebebasan yang dimiliki oleh manusia yang lain.”

Tok buang songel tembakau yang dari tadi ditenyeh-tenyah di antara bibir atas dengan gusinya. Gigi Tok hanya tinggal dua batang. Tunggul gigi lagi banyak dari gigi yang masih elok. Walaupun gigi Tok hanya dua batang, daya ingatan Tok tak serau seperti giginya. Ingatan Tok mengalahkan daya ingatan aku. Mungkin aku terlebih minum air bersemut.

“Sebagai hamba yang diberikan kebebasan oleh Tuhannya, memang sepatutnya kita sentiasa bersyukur. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah dikurniakan dengan anugerah-Nya yang sangat besar nilainya iaitu nenek moyang yang bijak dan berpandangan jauh dalam membebaskan tanah air yang tercinta ini daripada genggaman penjajah lebih 400 tahun lamanya.

“Sepanjang tempoh itu jugalah pelbagai pahit jerih terpaksa dihadapi sebagai bangsa yang dijajah. Segala hak kita sebagai pribumi dinafikan oleh si penjajah. Segala hasil bumi tanah tumpah darah habis ditarah demi kepentingan haloba mereka. Rakyat dipecah-pecahkan mengikut kaum keturunan mereka. Secara berdikit-dikit, ditanamnya sikap sayangkan kaum sendiri di dalam hati. Kaum yang dirasakan boleh mendatangkan kepentingan kepada mereka diberikan kedudukan dan keselesaan dari segi ekonomi dan dijadikan rakan kongsi, manakala kaum yang dianggap boleh mengancam kekuasaan mereka dibiarkan nun jauh di ceruk kampung-kampung yang terpinggir.

“Atuk nenek moyang kita dulu semangatnya waja. Demi bumi bertuah tanah tumpahnya darah yang tercinta, mereka sanggup berjuang bermati-matian mahu mengembalikan kemerdekaan dan kebebasan yang pernah dikecapi. Berjihad atas dasar menegakkan hak dan kebebasan mutlak bumi yang bertuah ini.Tok Gajah, Mat Kilau, Tun Perak dan sahabat-sahabat lainnya berjuang keringat, darah dan air mata semata-mata demi tanah air tercinta ini. Semata-mata untuk anak cucu hidup senang di masa hadapan. 

Ayat al-Quran surah An-Nisa’ ayat 95 dijadikan pembakar semangat: “Tidaklah sama (keadaan) orang yang duduk (tidak berperang) dari kalangan orang yang beriman dengan orang yang berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk dengan satu darjat (kelebihan).”

Tok sedut rokok daunnya dalam-dalam. “Tok mahu kau dengar betul-betul apa yang Tok ingin katakan. Dengar dengan mata hatimu.” Tok pandang mata aku tepat hingga ke dalam jiwa. Seolah-olah mahu ditanam dan dibiarkan berakar menjalar apa yang ingin dipesannya itu dalam setiap saraf tubuhku.

“Dulu, guru agama Tok pernah meminta kami, anak muridnya berjanji. Masa itu, tentera Jepun tengah menggila memenggal kepala orang-orang kampung yang dirasakan tidak sehaluan dengan mereka. Hidup masa itu sangat perit. Seolah nyawa manusia tiada harga. 

Ustaz Mail berpesan:

” Aku mahu kamu pegang janji ini sepanjang hidup kamu. Jadikannya pesananku ini sebagai azimat penguat semangat kamu. Sampaikan juga pesananku ini kepada waris keturunan kamu kelak.

Mata tua Tok berkaca-kaca, suaranya tenggelam timbul. Mungkin sebak. Atau mungkin juga menahan gelora semangat yang berkobar.  Tok mengingatkan kembali kata-kata guru agamanya, Ustaz Mail.

Ustaz Mail berpesan:

 “Ingatlah wahai anak-anak didikku tercinta… Sesungguhnya mempertahankan kedaulatan agama dan negara amat besar ganjarannya di sisi Allah. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, daripada Mu’az RA: “Sesiapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar masa orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan sesiapa yang bermohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad kemudian dia mati atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya balasan syahid.”

“Berpeganglah kepada sunnah ini wahai pejuang bangsa; Dan sesiapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka dia datang pada Hari Kiamat sederas darah yang mengalir ketika luka, warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan wangi kasturi.” (Riwayat Imam Abu Daud dan Tirmizi).

 “Sesungguhnya di dalam syurga itu ada seratus darjah yang disediakan Allah bagi orang yang berjihad pada jalan Allah. Di antara satu darjah dengan darjah yang lain seperti langit dan bumi.” (Riwayat Imam Bukhari).

Kata disemat, ajaran diikut. Berlandaskan kesucian dan kebenaran agama yang tercinta, perjuangan menegakkan kebebasan diteruskan. Maruah bangsa wajib dibela dan kesejahteraan negara perlu dipertahankan. Semangat kepahlawanan dalam diri kita, tidak akan sanggup membiarkan negara terjajah. Terjajahnya negara akan hanya menjatuhkan maruah agama, bangsa dan negara. Semangat jihad dan kepahlawanan perlu ditanam di dalam setiap jiwa dan sanubari umat agar perasaan sayangkan negara dan tanah air sentiasa membara.

Ini pesan Tok…

Dalam mempertahankan kedaulatan negara, kekuatan mental dan fizikal perlu ada. Selain daripada memiliki kelengkapan pertahanan, kerohanian yang mantap berteraskan sifat mahmudah dan keimanan kepada Allah, laksanakanlah segala perintah Allah. Tinggalkan segala larangan-Nya, perlu disiplin, perlu amanah, perlu juga jujur dan ikhlas. Atas dasar ini sahajalah kedaulatan dapat dikekalkan dan akidah umat Islam akan terpelihara dan sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah SWT.

Mungkin tampak mudah, tetapi percayalah, untuk mempraktikkannya memerlukan jati diri yang kuat. Kita perlu berganding bahu, bersatu padu. Dari dahulu lagi kita bercaya; bersatu teguh, bercerai roboh. Sebagai warga yang inginkan agama dan negara terpelihara maka kita perlu berganding bahu bersatu padu, bekerjasama dan membina ciri-ciri kepahlawanan dalam setiap diri.

Umat Islam perlu mempunyai semangat dan ketahanan untuk mempertahankan negara. Negara tidak akan maju dan selamat sekiranya golongan muda mahupun tua berada dalam keadaan lemah. Generasi muda masa kini perlu dibina supaya mempunyai semangat jihad dan sifat-sifat kepahlawanan yang berkualiti supaya kelak mampu menjadi pahlawan yang berani dan gagah memperjuang dan mempertahankan kedaulatan tanah tumpahnya darah kita ini.

Sesungguhnya pesanan Tok benar-benar membuatkanku berfikir panjang!

Editor : Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-58 wahai seluruh rakyat di bumi yang diberi nama Malaysia ini, tanahair yang harus dipelihara dengan segala apa kuasa dan keringat! Sedarlah jiwa dan minda kita tidak pernah berhenti daripada dijajah! Selidiklah! Kajilah sejarah, untuk kita tahu di mana kedudukan kita sebenarnya agar kita tahu negara ini kepunyaan kita yang harus dipertahankan. Sifat kepahlawan kita bukan lagi dengan menggunakan senjata tetapi dengan ilmu pengetahuan, minda kritis dan kritikal serta jiwa yang kental.

 

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *