Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kurikulum pendidikan Islam yang diselaraskan oleh Lepai dan jabatan agama Islam negeri berjaya menerapkan kefahaman sebenar terhadap tasawuf Islam dalam kalangan pelajar.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak tidak seharusnya berada dalam zon selesa kerana usaha berterusan termasuk daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amat diharapkan untuk melakukan pemantauan dan pengawasan.

‘‘Pengesahan tiada sekolah, tenaga pengajar serta pelajar seliaan Lepai dan jabatan agama Islam negeri terlibat dengan kegiatan ekstremis dan kumpulan militan IS itu dibuat semasa persidangan Lepai di Sabah pada Mei lalu yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

‘‘Saya yakin pemantauan berterusan dapat memastikan sekolah, tenaga pengajar dan pelajar terhindar daripada elemen yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah,’’ katanya ketika berucap dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) Peringkat Kebangsaan Sesi 2014 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.

Menurut Jamil Khir, Jakim berjaya mengurus dan menyelaraskan pelaksanaan peperiksaan UPKK 2014 yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula 13 hingga 16 Oktober tahun lalu.

‘‘Keputusan UPKK 2014 menunjukkan semua negeri di seluruh negara mencapai keputusan cemerlang dengan kelulusan 100 peratus, secara keseluruhan sebanyak 27,614 calon memperoleh agregat 8A berbanding 2013, hanya 22,608 calon mendapat agregat yang sama.

‘‘Dari segi pencapaian terbaik agregat 8A pula, keseluruhan negeri menunjukkan peningkatan dengan tiga negeri berada di tangga teratas iaitu Melaka sebanyak 26.70 peratus, Kuala Lumpur (23.67 peratus) dan Sabah (21.71 peratus),’’ katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berkata, individu terlibat dalam kegiatan ekstremis dan IS terdiri daripada mereka yang memahami agama dalam kerangka sempit selain mendapat guru yang cenderung dengan ajaran terpesong.

Sumber daripada www.utusan.com.my