Home » Wacana » Di mana semangat patriotik rakyat Malaysia?

Di mana semangat patriotik rakyat Malaysia?

sumber

Sudah lama rasa kecewa ini berlubuk di dalam hati. Kecewa kerana rakyat Malaysia seolah-oleh tidak menghargai sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun. Tahun ini, adalah tahun ke-58. Tetapi, andai soalan sudah berapa tahunkah Malaysia merdeka, ditebak kepada warga Malaysia mungkin ada yang teragak-agak menjawabnya.

Apabila seorang kawan memuatnaik status di laman bukunya tentang betapa berbangganya rakyat Singapura menyambut hari kemerdekaan negara mereka iaitu setiap 5 Ogos, saya terkesan. Kerana apa? Kerana katanya, rakyat Singapura sudah mula sibuk mengibarkan bendera kebanggaan negara mereka di premis-premis kediaman, sekolah dan pejabat sejak bulan Jun lagi. Ternyata mereka mempunyai semangat cintakan negara yang jelas dan padu.

Berbanding kita di Malaysia, pelbagai kempen telah dilaksanakan oleh kerajaan supaya rakyat turut sama mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, sekolah, pejabat mahupun di dalam kenderaan sepanjang 15 Ogos hingga 15 September setiap tahun tetapi ternyata sambutannya amat hambar. Sedangkan di pasaran ada pelbagai saiz bendera Malaysia yang boleh dipilih. Ada yang kecil, ada yang besar, ada yang boleh dilekatkan di dasboard kereta ataupun di luar kereta dan pelbagai lagi mengikut tempat dan kapisiti ruang yang digunakan.

Namun sayangnya, rakyat Malaysia langsung tidak menunjukkan kecintaan untuk sama-sama memeriahkan bulan yang menjadi bulan keramat kepada Tanah Melayu dahulu.  Yang menjadi persoalannya apakah sebabnya keadaan menjadi sebegitu?

Adakah mereka tidak berbangga menjadi anak Malaysia?

Adakah mereka merasakan nikmat kemerdekaan itu adalah sesuatu yang mudah untuk digapai?

Adakah kerana mereka tidak merasai langsung jerih payah para pejuang tanahair memperjuangkan kemerdekaan, lalu mereka langsung tidak dapat menghayati makna perjuangan dan kemerdekaan itu?

Adakah mereka menganggap kempen mengibarkan bendera itu hanya perkara remeh dan menyusahkan?

Adakah mereka berasa malu kerana melihat orang lain tidak sibuk-sibuk untuk mengibar bendera lantas mereka juga mengambil langkah berkecuali?

Adakah mereka merasakan itu hanya kempen mengarut yang sengaja diada-adakan oleh kerajaan?

Adakah mereka merasakan tidak mengibarkan bendera tidak juga menandakan mereka tidak patriotik?

Saya pernah bertanyakan kepada seorang tokoh tentang mengapa lagu ‘Negaraku’ itu sendiri tidak membawa lirik yang benar-benar membawa kepada jati diri Malaysia dan semangat cintakan tanahair sebagaimana lirik lagu kebangsaan Thai? Niat saya bukan untuk memperlekehkan lagu kebangsaan itu kerana lagu sudah berpuluh-puluh tahun dicipta tetapi alangkah berbangganya kita andai melalui lagu kebangsaan, kita sudah mampu menyerlahkan rasa kecintaan kita kepada negara Malaysia yang tercinta ini. Berikut saya sertakan maksud lirik lagu kebangsaan Thai.

Thailand menyatukan jiwa dan raga suku Thai

Negara rakyat; dimiliki suku-suku Thai dalam segala hal

Kemerdekaan telah lama dipertahankan

Karena suku Thai mencari dan mencintai persatuan

Suku Thai cinta damai

Namun dalam perang kami bukanlah penakut

Persatuan negara tidak akan terancam

Berjuang hingga titis darah terakhir

Majulah Negeri Thai, pertahankan kemenangan!

Cuba hayati dan renungkan!

Ada satu lagu yang sentiasa dalam ingatan saya. Lagu yang pernah saya nyanyikan bersama kumpulan koir sekolah di bangku sekolah dahulu.

Malaysia oh tanah air ku

Tanah tempat  tumpah darahku

Negeri elok amat kucinta

Yang ku puja sepanjang masa

Sawahmu terbentang meluas

Tumbuh-tumbuhan hijau merendang

Bukitmu lurusnya terbentang

Tak jemu mataku memandang

Sungguh indah di Malaysia

Negeri yang kaya raya

Tempat pusat berniaga

Terkenal di seluruh dunia

Malaysia negeriku Malaysia

Pusaka tinggalan moyangku

Tetap sentosa hidup merdeka

Malaysia oh tanah airku

(chorus)

Sungguh indah di Malaysia

Negeri yang kaya raya

Tempat pusat berniaga

Terkenal di seluruh dunia

Malaysia negeriku Malaysia

Pusaka tinggalan moyangku

Tetap sentosa hidup merdeka

Malaysia tanah airku.

Malaysia, tanah air kita bagi seluruh rakyat Malaysia. Tunjukkan bagaimana kita cinta dan sayangkan negara ini sekurang-kurangnya bermula dengan mengibar bendera di dalam kenderaan sendiri mahupun di rumah. Saya sudah. Anda bila lagi?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cintakan tanah air itu sebahagian dari iman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Editor.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *