Home » Wacana » Kaji operasi kedai mamak, masalah sosial selesai?

Kaji operasi kedai mamak, masalah sosial selesai?

gambar hiasan

Apabila cadangan supaya kedai makan dan restoran yang beroperasi 24 jam dikaji semula bagi menyelesaikan masalah gejala sosial yang semakin meruncing di kalangan warga belia, rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Ini kerana ramai yang sedar realitinya yang kewujudan kedai 24 jam ini bukan penyumbang terbesar kepada masalah yang semakin menggusarkan banyak pihak ini.

Dan apabila merujuk kepada kedai makan 24 jam sudah tentu, kedai mamak lah yang menjadi sasarannya. Budaya masyarakat Malaysia sekarang sudah menjadikan kedai mamak sebagai kedai makanan kegemaran mereka tanpa mengira masa. Apatah lagi, kedai inilah yang mampu menawarkan pelbagai jenis makanan yang dimahukan walaupun di waktu tengah malam dan awal pagi. Kadang-kala penggemar kedai mamak tidak memerlukan makanan untuk menjadikan mereka duduk berjam-jam di situ. Hanya segelas air sudah memadai.

Cadangan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) supaya menyarankan kepada pihak kerajaan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya khas untuk mengkaji peningkatan gejala sosial juga harus disambut baik. Cuma sebagai pendapat peribadi, penulis melihat sudah terang lagikan bersuluh, walau sebanyak mana kajian yang yang mahu dilakukan, puncanya sudah kita tahu datang daripada kelab-kelab malam, pusat karaoke yang bersepah di sekitar Lembah Klang malah di mana-mana sahaja. Begitu juga dengan penganjuran konsert nyanyian sama ada persembahan artis luar negara ataupun artis tempatan. Itu belum termasuk dengan akses internet yang menawarkan laman-laman porno yang tidak mampu disekat.

Kalau menyebut tentang golden triangle, dalam kotak minda kita, Bukit Bintang adalah kawasan yang dikenali sebagai kawasan paling ‘bernyawa’ pada waktu malam sekitar ibu kota Kuala Lumpur. Di sini banyak kelab malam yang menawarkan keseronokan sementara yang didambakan oleh warga kota. Diceritakan, di sinilah kita dapat melihat pelbagai bangsa dan kaum berhibur dengan cara mereka yang tersendiri.

Berbeza pula di Manchester, United Kingdom (UK) yang tidak ada istilah “kehidupan’’ waktu malam di dalam bandar, atau di jalan-jalannya. Kebanyakan kedai telah menghentikan operasi sebelum menjelang waktu Maghrib. Ini bukan disebabkan penjaganya hendak bersolat, kerana mereka bukan beragama Islam, tetapi kerana waktu perniagaan di sana hanya dihadkan hingga pukul 6 atau 7 malam.

Malah di kota raya London yang terkenal dengan kesibukannya itu, juga telah menghentikan operasi kedai dan gedung perniagaannya pada pukul 6 atau 7 malam. Jalan raya yang terkenal dengan syurga membeli-belahnya kepada para pelancong tempatan dan luar negara seperti Oxford Street, lengang menjelang malam, atau lewat petang.

Sekiranya ditelusuri secara mendalam, bukankah sesuatu yang pelik apabila Malaysia yang diangkat sebagai negara Islam mempraktikkan cara hidup sebegini. Entah sejak bila budaya ‘night life’ ini menjadi amalan di Malaysia sehinggakan timbul istilah Kuala Lumpur sebagai bandar yang tidak pernah tidur?

Penulis bersetuju dengan tulisan Dr. Ismail Ibrahim yang turut membangkitkan persoalan siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya mahukan perubahan terhadap cara hidup sebegini dilakukan secara radikal? Kerajaan pusat? Jabatan agama? Akta moral? Atau Ibu bapa sendiri?

Penulis kira banyak perkara yang harus dilihat oleh kerajaan bagi mengkaji sedalam-dalamnya sekiranya mahu mengambil tindakan yang serius bagi merawat gejala sosial ini. Dari mana punca segala permasalahan ini dan merangka kaedah holistik untuk memulihkan kehidupan malam yang sudah sebati dengan kehidupan warga Kuala Lumpur.

Editor.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *