Tergamam seketika tatkala membaca laporan sebuah akhbar tempatan minggu lalu yang melaporkan kira-kira 1,000 tan atau 1 juta kilogram makanan dibuang rakyat Malaysia sehari sepanjang Ramadhan.
Jumlah sedemikian juga dilaporkan mampu menampung bekalan makanan kepada lebih tujuh juta penduduk.
Bahkan jumlah pembaziran makanan itu berupaya menampung keperluan negara yang berdepan dengan kebuluran akibat konflik berpanjangan seperti Togo, Sierra Leone, Nicaragua, Gambia dan Botswana.
Sememangnya setiap kali menjelang musim Ramadhan, budaya rakyat di negara ini begitu mewah dengan makanan.
Bazar-bazar Ramadhan antara yang paling dinanti-nanti oleh segenap lapisan masyarakat yang menjanjikan keuntungan lumayan buat peniaga-peniaga mahupun usahawan-usahawan segera.
Tidak hairanlah ada yang dilaporkan sanggup bergaduh dan bertumbuk hanya kerana berebut tapak bazar Ramadhan walaupun terpaksa membayar harga sewa yang sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.
Tidak terkecuali hotel-hotel yang menawarkan pelbagai bufet Ramadhan dengan harga sekepala yang boleh tahan tingginya.
Hakikatnya nafsu sahaja yang begitu membuak-buak tatkala melihat pelbagai juadah terhidang. Apatah lagi dengan sikap masyarakat yang berlumba-lumba berkongsi bangga di laman-laman media sosial.
Namun secara realitinya perut masing-masing hanya mampu menampung makanan yang sedikit sahaja tatkala berbuka hingga sering kali berlakunya pembaziran.
Fenomena ini mungkin hanya unik untuk negara seperti Malaysia yang bagaikan meraikan pesta juadah setahun sekali.
Saya bukanlah ingin menafikan persoalan mencari rezeki dengan berniaga di bulan yang mulia ini. Namun, apa yang dikhuatiri bukan sahaja isu pembaziran, tetapi penyimpangan budaya yang semakin kronik hingga menjadikan Ramadhan sebagai pesta juadah, bukannya pesta ibadah.
Mungkin ada baiknya diperingatkan betapa budaya sebegini perlu kembali dijernihkan. Ramadhan seharusnya menjadi bulan untuk kita meraikannya dengan melakukan pelbagai bentuk ibadah.
Dalam Islam, bulan yang paling mulia di sisi Allah adalah Ramadhan. “Apabila datangnya bulan Ramadhan, akan dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan”. (Riwayat Muslim)
Bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, malam yang terlebih baik dari seribu bulan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Qadr, ayat 1-5 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sehingga terbit fajar.”
Bahkan ibadah puasa itu sendiri mempunyai keistimewaan dan nilai yang sangat tinggi di sisi Allah, sehingga Allah sendiri yang mengkhususkan ganjaran pahala puasa tanpa batasan, sebagaimana hadis Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya orang yang berpuasa itu meninggalkan syahwatnya, makanannya, dan minumannya semata-mata kerana-Ku. Puasa itu hanyalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi ganjaran pahalanya. Setiap kebaikan (Aku gandakan) sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda, kecuali puasa, maka ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberi ganjaran pahalanya (tanpa batasan)”. (Hadith sahih Riwayat Bukhari).
Selain itu, bagi orang yang berpuasa juga, dia akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya:
“Bagi orang yang berpuasa itu memperoleh dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka puasa, dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya”. (Hadith sahih Riwayat Muslim).
Inilah juga bulan keampunan dosa-dosa yang lalu, sebagaimana hadis sahih Riwayat Muslim:
“Sesiapa yang mendirikan Ramadhan (dengan amal ibadah) kerana beriman (kepada Allah) dan mengharapkan (ganjaran pahala daripada Allah), diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu”.
Sehinggalah di akhirat, tatkala sampai di pintu-pintu syurga, mereka iaitu orang-orang yang benar-benar merealisasikan hakikat puasa, disediakan sebuah pintu syurga yang dinamakan ar-Rayyan khusus untuk mereka masuk melaluinya.
Di dalam syurga pula, mereka diseru dan dipersilakan untuk makan dan minum dengan sepuas-puasnya dan semewah-mewahnya, disebabkan mereka menahan lapar dan dahaga semata-mata kerana Allah, sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Haqqah, ayat 24:
“(Dikatakan kepada mereka): Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman (di dalam syurga) sebagai nikmat yang baik dan lazat, dengan sebab amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu (di dunia)”.
Justeru sudah tiba masanya agar umat di Malaysia melakukan proses penjernihan pemikiran dan budaya dengan mem’pesta’kan Ramadhan dengan ibadah dan bukannya sibuk dengan percaturan juadah semata-mata.
Moga-moga hari-hari yang berbaki dapat kita sama-sama meningkatkan amalan ibadah hanya kerana Allah.
Sumber daripada www.sinarharian.com.my
KOMEN