Susunan Editor
Amalan bekerja dari rumah sudah semakin mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat pada hari ini terutama golongan belia.
Terbeban dengan lambakan kerja yang tidak berkesudahan di pejabat, kerja-kerja yang menuntut kepada tarikh akhir, tekanan menghadapi kesesakan jalan raya yang tidak menentu, anak-anak terpaksa dihantar ke taman asuhan kanak-kanak, masalah untuk menjaga anak-anak apabila demam atau sakit antara penyebab ramai wanita terutamanya yang memilih untuk berhenti kerja makan gaji dan memulakan kerja dari rumah.
Pilihan yang ada sekarang sudah tentunya SOHO atau small office, home office yang telah menjadi gaya hidup dan trend di negara maju sebenarnya. Kemunculan SOHO ini seiring dengan kemunculan teknologi internet yang boleh diakses di mana-mana sahaja. Pada hari ini, hampir semua orang mempunyai telefon pintar atau tablet yang dilengkapi dengan talian internet atau menggunakan wifi yang semakin meluas liputannya.
Kajian di Amerika Syarikat mendapati lebih 25 juta penduduknya menyertai program SOHO dalam pelbagai sektor. Senarai ini diikuti Kanada (2.5 juta), United Kingdom (2.2 juta), Australia (778,000) dan New Zealand (200,000).
Pelaksana SOHO yang bekerja secara berdikari dan berpusat dari rumah ini menjadikannya semakin diterima baik oleh rakyat Malaysia. Semuanya berada di hujung jari dan menjimatkan masa. Malah, masyarakat semakin meyakini perkhidmatan yang ditawarkan berbanding 5 tahun lalu.
Oleh sebab itu, dalam kajian OpenMindsResources.com, 29% dari pengguna internet di Malaysia lebih suka menghabiskan masa sekurang-kurangnya 1-2 jam untuk membeli-belah di internet. Antara barangan yang biasa dibeli ialah pakaian dan hiasan, barangan elektronik, barangan komputer, buku dan sebagainya.
Lebih mengejutkan lagi ialah pengguna internet di Malaysia rata-ratanya tidak kisah berbelanja RM100-RM300 untuk membeli-belah di internet. Malahan kebanyakan daripada mereka turut gemar membayar barangan yang dibeli tersebut dengan kad kredit dan mereka juga lebih gemar membeli melalui laman web berbanding membeli di Facebook.
Ruang dan peluang yang terbuka luas inilah yang menjayakan aktiviti setiap pelaksana SOHO.
Di samping itu, penyediaan tempat yang tidak memerlukan ruang yang besar dan boleh dirancang dengan menggunakan bajet ekonomi menjadikannya sangat mudah untuk direalisasikan. Yang penting, ada komputer riba atau komputer, meja kerja, kerusi dan talian internet. Empat komponen utama ini sudah cukup untuk memulakan SOHO.
Kalau penduduk di Lembah Klang, mungkin lebih suka memilih idea-idea hiasan dalaman di IKEA yang mempamerkan seni hiasan yang ringkas tapi menarik. Barang-barang yang mahu dibeli boleh dipilih mengikut kemampuan bajet masing-masing. Dan yang paling menyenangkan ialah, pihak IKEA sendiri menyediakan tempahan atas talian dan barang akan sedia dihantar di hadapan pintu rumah anda.
Pelbagai aktiviti dan perniagaan yang boleh dilaksanakan melalui SOHO sama ada menjalankan perniagaan atas talian, menulis artikel, cerpen atau buku, melakukan kerja-kerja menjahit dan sulaman dan sebagainya. Melalui SOHO, semua urusan dapat dilaksanakan dengan mudah dan menjimatkan. Di samping menerima imbalan daripada transaksi yang telah diurus.
Menurut Dato Dr Azman Chin, perniagaan SOHO mampu menjadi lapangan perniagaan yang menguntungkan kerana kos overhead dan pengendalian yang amat rendah dan kebolehan mencapai pelanggan yang lebih besar dengan teknologi sedia ada seperti internet dan telefon bimbit.
SOHO boleh dijalankan oleh sesiapa sahaja yang berminat tanpa mengira jantina dan kesihatan pengusahanya. Apa yang perlu ada adalah keinginan, kecekalan dan daya usaha yang bersungguh-sungguh berserta ilmu pengetahuan. Memetik hasil tulisan Billi P.S. Lim, “Satu-satunya faktor pengeluaran yang tidak berkurangan apabila digunakan ialah ilmu pengetahuan. Justeru, ilmu pengetahuan kini menjadi aset penting untuk perkembangan ekonomi.
Puan Rafaliah Yusof, yang merupakan seorang jurutera 3 tahun dahulu, telah melepaskan jawatan beliau kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada 2 orang anaknya. Beliau kini selesa menjalankan kerja-kerja perniagaan atas talian mengikut fleksebiliti masa beliau. Beliau mengakui, lebih tenang tanpa perlu terkejar-kejar untuk tiba di pejabat dan melalui kesesakan lalu lintas yang tidak dapat dijangka dari Dengkil ke Bangi. Beliau juga lega kerana membuat keputusan yang tepat kerana bagi beliau masa beliau sangat terisi dengan aktiviti-aktiviti bersama anak-anak. Di samping merasai perkembangan anak-anak yang membesar di hadapan mata. Beliau juga mampu menjana pendapatan 5 angka sebulan dan melancong ke luar negara.
Oleh sebab itu, SOHO walaupun kerja-kerjanya nampak santai kerana dilakukan di rumah namun para pelaksananya perlu mempunyai disiplin yang tinggi. Kita tidak boleh bekerja mengikut mood tetapi boleh menyusun jadual mengikut keutamaan dan keupayaan masing-masing.
Ini sesuai dengan anjuran Islam yang menyeru setiap umatnya untuk berusaha mencari rezeki yang halal dengan kudrat sendiri. Islam melarang umatnya bergantung harap kepada Allah SWT tanpa berusaha untuk memperolehi rezeki sendiri. Rasulullah SAW pernah ditanya: “Pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda SAW menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik.” (Hadis riwayat Ahmad).
Sebagai contoh, mungkin sebelum Subuh kita boleh mulakan dengan kerja-kerja di hadapan komputer. Selepas Subuh, boleh tumpukan perhatian dengan kerja-kerja di rumah pula. Bagi yang melakukan perniagaan atas talian, ada jadual untuk tempoh menerima tempahan, pembungkusan dan urusan di pejabat pos dan seterusnya pengeposan. Ia mengikut kepada jenis aktiviti yang kita jalani.
Disiplin ini harus disertai semangat yang kekal cergas supaya kerja-kerja yang mahu dilakukan dapat disiapkan mengikut sasaran yang telah ditetapkan.
Walau apapun, banyak faedah yang mampu diperolehi apabila seseorang individu memilih untuk bekerja dari rumah. Banyak masa dapat diperuntukkan bersama-sama anak-anak, pendapatan tanpa modal yang besar terutama modal penyelenggaraan premis dan pekerja, boleh memilih waktu yang sesuai dan tidak tertekan dengan arahan pihak majikan juga memperolehi rezeki yang barakah.
SOHO bermaksud kitalah majikan, kitalah pekerja. Semuanya bergantung atas kita untuk menentukan perjalanan kita. Niatkan untuk bekerja kerana Allah SWT, berdoa supaya Allah mempermudahkan segala urusan kita dan lakukanlah semua urusan dengan niat ikhlas.
KOMEN