JOHOR BAHRU, 4 Disember – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia mengakhiri Program Dakwah Negara bagi tahun 2014 di Bandaraya Johor Bahru dengan pelbagai program yang telah disusun dengan kerjasama TV Al-Hijrah dan Kerajaan Negeri Johor. Program ini dilaksanakan bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
Karnival Hijrah yang berlangsung dari 3 hingga 6 Disember di Dataran Bandaraya Johor Bahru ini diadakan bertujuan mendekati masyarakat melalui program-program ilmiah seperti Celik Muamalah dan Wacana Pemantapan Akidah. Selain itu, booth jualan dan penerangan turut dibuka bagi memberi peluang kepada orang ramai memahami fungsi dan peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi agama dalam menyemarakkan kerja-kerja dakwah di Malaysia.
Y.B. Haji Abd Mutalip Bin Haji Abd Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor dalam ucapan perasmiannya menekankan tentang cabaran berat yang dihadapi oleh umat Islam hari ini.
“Ada pihak tertentu yang cuba memperkecil-kecilkan Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama negara, mempromosikan fahaman liberal, menyatakan Enakmen Syariah Islam di negara ini sudah lapuk dan perlu diganti, menghebohkan tentang peri pentingnya Islam bergerak selari dengan fahaman pluralisme, dan yang paling menyedihkan, menyatakan kalimah Allah itu boleh digunakan oleh ajaran agama lain, untuk memperkenalkan tuhan mereka juga sebagai Allah.”
“Tidak cukup dengan itu, timbul pula dari kalangan mereka yang tidak memahami sosio-budaya masyarakat majmuk, mula mengeluarkan hujah dan hukum, menerangkan bahawa bermazhab itu tidak penting, mudah membid’ahkan amalan-amalan ibadah yang diperkenalkan oleh ulama silam, dan tidak menghormati adab dalam berbeza pendapat.”
“Oleh sebab itu, pendakwah bukan sahaja perlu menguasai disiplin-disiplin ilmu Islam yang utama, tetapi perlu juga mengetahui dengan betul dan benar, sosio-budaya masyarakat majmuk selain mendalami bidang-bidang teknologi terkini.”
Beliau juga menekankan agar gerakan dakwah pada hari ini tidak lagi boleh dihadkan kepada dakwah yang bersifat tradisi, tetapi pendakwah perlulah bekerja di luar kotak. Para pendakwah perlu mengambil teladan daripada ulama silam, yang mengambil prinsip berdakwah itu adalah suatu perjuangan, bukannya medan untuk mencari keuntungan.
Majlis turut dihadiri oleh Y.Bhg Dato’ Haji Razali bin Shabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), wakil rasmi kepada Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Tan Sri Datuk Haji Mohamed bin Aziz, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor dan Y.B. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
KOMEN