Home » Langit Terbuka » 840,000 PATI serah diri Program 3+1

840,000 PATI serah diri Program 3+1

Ketua Pengarah Imigresen berkata, Program 3+1 akan berakhir sepenuhnya pada 30 Ogos depan tanpa sebarang lanjutan

PUTRAJAYA – Kira-kira 840,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyerah diri secara sukarela melalui program Penghantaran Pulang PATI Secara Sukarela (Program 3+1) sejak 2014 hingga hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata jumlah itu membabitkan kutipan kompaun sebanyak RM400 juta, sekali gus menunjukkan program berkenaan berjaya mengurangkan bilangan PATI di negara ini.

Beliau berkata, Program 3+1 akan berakhir sepenuhnya pada 30 Ogos depan tanpa sebarang lanjutan, justeru PATI digesa mengambil peluang keemasan itu secepat mungkin.

“Jabatan Imigresen memberi peluang untuk PATI menyerah diri secara sukarela melalui program ini bagi mengelakkan mereka ditangkap dalam Ops Mega 3.0 yang sedang dijalankan dan bakal berdepan tindakan penguatkuasaan serta hukuman lebih berat.

“Kita tidak akan melanjutkan tempoh program itu yang membolehkan PATI menyerah diri secara sukarela untuk dihantar pulang tanpa dikenakan tindakan tegas dan hanya perlu membayar RM400 bagi pas khas serta denda.

“Jangan tunggu hingga saat akhir untuk menyerah diri. Kita sudah beritahu awal, jadi selesaikan awal. Sempena sambutan kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos depan, kita mahu ‘memerdekakan’ negara daripada PATI,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mustafar berkata, bagi memastikan kelancaran program itu, Jabatan Imigresen akan membuka kaunter bagi urusan penerimaan dan pemprosesan 3+1 pada cuti hujung minggu dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Bagi negeri yang cuti hujung minggu jatuh pada Sabtu dan Ahad, kaunter akan dibuka pada 4, 5, 11, 12, 18 dan 19 Ogos, manakala negeri cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu pula 3, 4, 10, 11, 17 dan 18 Ogos ini.

“Justeru, PATI masih berada di dalam negara ini digesa mengambil peluang hadir ke Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Imigresen, untuk menyertai program ini,” katanya

Beliau berkata, Jabatan Imigresen juga mengambil serius sikap sambalewa mereka yang gagal menjelaskan bayaran kompaun bagi kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Ada pesalah, termasuk majikan dan PATI yang layak dalam Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) berakhir pada 30 Jun lalu, gagal menjelaskan bayaran kompaun dalam tempoh ditetapkan.

“Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan keras dengan menyenarai hitam pesalah berkenaan secara BioSL (senarai hitam melalui biometrik) bermula 1 September depan.

“Mereka yang disenarai hitam ini tidak akan dikeluarkan pasport dan dokumen perjalanan, tidak dibenar meninggalkan negara serta tidak dapat melakukan sebarang urus niaga di Jabatan Imigresen,” katanya.

Beliau berkata, sejak Januari hingga Khamis lalu, sebanyak 8,694 operasi dilaksana membabitkan pemeriksaan terhadap 108,000 warga asing, tangkapan 26,200 PATI dan tindakan terhadap 700 majikan yang menggajikan serta melindungi PATI.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/457836/840000-pati-serah-diri-program-31

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *