INSTITUT Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Persatuan Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) akan menganjurkan Forum Madani Global pada 10 dan 11 Julai di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan akan dihadiri oleh Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr. Ali Muhyiddin Al- Qaradaghi.
Objektif penganjuran program ini adalah antara lain bagi meneliti dan membincang strategi ke arah kebangkitan ketamadunan Islam serta usaha ke arah pengantarabangsaan gagasan Malaysia Madani.
Program dua hari ini akan menghimpunkan sejumlah pembicara daripada pelbagai latar belakang akademik dan kepakaran yang terdiri daripada ahli akademik, wakil kerajaan, penggubal dasar, diplomat, dan aktivis yang membahaskan persoalan memangkinkan ‘Kebangkitan Peradaban Islam Yang Seterusnya’.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam sidang media mengenai program ini berkata, di bawah pimpinan Perdana Menteri, dunia melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.
Kelebihan ini katanya, perlu digunakan sebagai kesempatan untuk berusaha mengangat maruah negara terutamanya daripada aspek ketamadunan.
Menurutnya lagi , turut menjadi agenda utama forum ialah menjadi platform perbincangan dan merangka strategi ke arah ketamadunan Islam untuk 100 tahun akan datang.
Tidak ketinggalan adalah pengajaran daripada ketamadunan Islam masa silam, agenda ketamaduan peringkat ASEAN, agenda kepemimpinan ketamadunan masa depan dan strategi diperlukan untuk menjelmakan kebangkitan tamadun.
Pihaknya menjangkakan kehadiran Kirakira 1,000 orang peserta untuk forum ini.
Katanya lagi, IKIM membuka pintu seluasnya kepada orang ramai untuk hadir ke forum tersebut, tanpa mengira latar belakang. Pendaftaran untuk menyertai forum tersebut juga adalah percuma jelas beliau.
Selain WADAH, penganjuran forum ini mendapat kerjasama padu daripada rakan- rakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti YADIM, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).
Sementara itu, media rasmi bagi penganjuran program Global Madani Forum 2024 adalah stesen TV Al Hijrah, Radio IKIMfm dan TV IKIM.
Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Naib Presiden WADAH, Haji Mohd Yusof Hassan dan Ketua Pegawai Operasi TV Al Hijrah, Puan Nadzariah Mohamed.
KOMEN