PUTRAJAYA – Bertempat di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di sini, telah berlangsung pelancaran Sambutan Hari Wanita 2021 anjuran Majlis Wanita Islam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MAYA) pada 8 Mac.
Program julung kali anjuran MAYA itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Ia bertujuan untuk melestarikan peranan wanita Islam dengan menelusuri suri teladan Ummahatul Mukminin yang terdidik melalui tarbiah langsung daripada contoh Rasulullah SAW.
Penganjurannya juga selaras dengan Dasar Manhaj Rabbani yang telah diangkat menjadi polisi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Program ini juga dihadiri oleh Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Pengerusi MAYA, Dr Safinar Salleh, pengurusan kanan YADIM serta wakil wakil jabatan.
Dalam pada itu, turut diadakan dalam pelancaran ini ialah kempen program 1Minggu 1Ringgit (1M1R) dan penyampaian anugerah kepada empat wanita istimewa yang kesemuanya merupakan sumber inspirasi untuk semua.
Berhubung 1M1R, Dr Zulkifli menyifatkannya sebagai satu inisiatif yang sangat baik dan disokong beliau sepenuhnya.
Selesai majlis pelancaran, program disambung dengan sesi Forum Mega 1 bertajuk “Wanita Besi: Fantasi atau Realiti”. Ia menampilkan mantan Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia,
Dato’ Kamilia Ibrahim serta Penyandang Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA, Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz manakala Timbalan Pengerusi MAYA, YB Senator Asmak Husin pula selaku moderator.
Pada sebelah petang pula majlis bersambung dengan Webinar Antarabangsa bertajuk “Wanita dan Cabaran Pandemik Covid-19” yang menampilkan panel panel dalam dan luar negara.
Sambutan Hari Wanita 2021 berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mac dengan pelbagai pengisian seperti forum, sidang selari, pameran dalam talian dan sebagainya.
KOMEN