RAMALLAH – Enam orang awam Palestin cedera termasuk seorang parah ditembak dalam serangan penceroboh haram Israel di kampung Sinjil, Tebing Barat yang diduduki.
Menurut agensi berita WAFA, sekumpulan 20 penceroboh haram Israel bertopeng, bersenjatakan senapang dan dibantu tentera Zionis melepaskan tembakan ke arah petani Palestin, selain menyerang mereka ketika menanam pokok zaitun di tanah sendiri berhampiran kampung.
Serangan itu mengakibatkan seorang petani Palestin cedera terkena peluru hidup di tangannya, manakala lima yang lain patang tulang dan lebam akibat dipukul.
Bukan hanya mencederakan, kumpulan peneroka itu juga merosakkan kemudahan di pinggir kampung dan memecahkan cermin depan lima kereta.
Askar pendudukan Israel yang mengiringi peneroka dalam serangan itu turut melepaskan tembakan, gas pemedih mata dan bom tangan secara mengejut ke arah penduduk kampung yang cuba menentang kekacauan terbabit.
Dalam insiden berasingan, peneroka haram Israel menyerang empat orang awam Palestin dan menyembur gas lada ke arah mereka di jalan Nablus-Tulkarm di utara Tebing Barat.
Mereka juga menyerang rumah dan kenderaan di kampung Burin, selatan Nablus sehingga menyebabkan kerosakan sebahagian daripadanya.
Keganasan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka adalah perkara biasa berlaku di Tebing Barat kerana ia jarang didakwa oleh pihak berkuasa pendudukan Israel.- Agensi
KOMEN