Kuala Lumpur – Sebanyak 51 Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mendesak agar kerajaan China menghormati, melindungi hak kebebasan beragama serta memberi perlindungan sama rata kepada etnik Uyghur yang didakwa berdepan penindasan dan kekejaman di wilayah Xinjiang.
Desakan tersebut disuarakan menerusi Memorandum Bantahan Keras yang diserahkan kepada Kedutaan Besar China di ibu negara hari ini.
Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, pihaknya menuntut agar kerajaan China dan negara-negara lain mengutamakan keamanan di peringkat sejagat tanpa mencabuli hak asasi manusia.
“Kami amat berdukacita kerana saya ingat sudah lebih lima kali kita berada di hadapan Kedutaan China untuk menyerahkan memorandum secara aman, malah hari ini kita juga membawa patung panda dan juga bunga raya sebagai menunjukkan persahabatan kita.
“Kita bukan ingin bergaduh atau melakukan ancaman atau sebagainya tetapi kita mahu datang menyerahkan memorandum secara aman.
“Bagaimanapun, lebih lima kali kita hadir, dan respons (yang diterima) amat negatif di mana kerajaan China tidak bersedia untuk menerima sebarang memorandum dan berbincang dengan NGO-NGO khususnya NGO Islam terhadap penindasan yang dilakukan kepada etnik Uyghur,” katanya ketika ditemui di hadapan Kedutaan Besar China, di sini hari ini.
Hadir sama menyerahkan memorandum berkenaan ialah Presiden Malaysia4Uyghur, Zuhri Yuhyi dan Penyelaras Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman.
Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata wakil-wakil NGO berharap agar kerajaan Malaysia konsisten dalam menyuarakan bantahan terhadap isu kemanusiaan termasuk nasib yang menimpa etnik minoriti Islam itu, selain mengesyorkan agar satu usul dibahaskan di Parlimen.
Ujarnya lagi, negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut digesa menentang ketidakadilan yang menimpa etnik Uyghur, sepertimana bantahan terhadap Israel tentang isu Palestin.
“Kita juga harus menentang kekejaman oleh kerajaan China terhadap Uyghur atau kerajaan India terhadap umat Islam di hampir semua wilayah di negara itu dan penindasan kerajaan Myanmar terhadap Rohingya,” tambahnya.
Memorandum yang ditandatangani 51 NGO itu antara lain turut mendesak agar kerajaan China segera menamatkan penggunaan kem “pendidikan semula”.
Ini kerana ratusan ribu orang Uyghur yang tidak bersalah yang dikumpulkan oleh pihak berkuasa China di kem-kem berkenaan, didakwa mengalami penderaan fizikal, penganiayaan serta penyeksaan.
Isu penindasan etnik itu hangat diperdebatkan susulan laporan media barat yang mendedahkan ‘bukti-bukti’ penggunaan kekerasan dan layanan tidak berperikemanusiaan ke atas etnik itu oleh kerajaan China
Setakat ini, dianggarkan 12 juta etnik Uyghur yang kebanyakannya Muslim tinggal di wilayah Xinjiang. – Astro Awani
KOMEN