KUALA LUMPUR 7 Mei – Lebih 500 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam meminta rakyat khususnya orang Islam hanya memilih calon yang sanggup mempertahankan Islam sebagai pemimpin menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengarah Himpunan NGO/NGI, Mohd. Zai Mustafa berkata, tindakan itu perlu memandangkan wujudnya pihak yang berani mencabar dan mempertikaikan kelebihan Islam sebagai agama Persekutuan.
Katanya, sekiranya rakyat alpa dengan pembohongan pihak berkenaan, dikhuatiri pentadbiran negara akan lebih cenderung ke arah liberal sekali gus akan menghapuskan Islam sebagai agama rasmi.
“Kami harapkan rakyat lebih berani bersuara menegakkan prinsip Islam di negara ini. Justeru program ini diadakan sebagai satu peringatan kepada rakyat agar bertindak bijak dalam memilih pemimpin yang bakal mentadbir negara.
“Pemimpin yang dipilih hendaklah berani melawan bantahan daripada pihak yang mahu menjatuhkan Islam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Himpunan Deklarasi Pimpinan NGO Tsunami Melayu Islam di sini, hari ini.
Himpunan itu diadakan ekoran wujud beberapa pihak secara lantang bersuara mahukan hak sama rata dalam kalangan kaum bukan Melayu dan Islam.
Tambah Mohd. Zai, desakan yang wujud daripada beberapa pihak yang menghentam Islam serta mempertikaikan institusi raja berperlembagaan yang beridentitikan Islam secara terang-terangan menjadi agenda utama perhimpunan itu diadakan. – UTUSAN
KOMEN